Monday, September 26, 2011

Satu Lagi Perkara Baru



Ken Nee tempah tiket Sukan Olimpik


Oleh Mohd Fitrie Muhamad


HARI pertama kejohanan Terjun Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, semalam menyaksikan Malaysia bermula baik apabila berjaya merangkul dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Lebih menggembirakan penerjun berpengalaman kebangsaan, Yeoh Ken Nee berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 setelah meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal selepas mengumpul 456.55 mata, mengatasi rakan senegara Ooi Tze Liang yang memperoleh pingat perak dengan kutipan 387.50 mata.
Pingat gangsa milik Timothy Lee dari Singapura dengan catatan 310 mata.
Kee Nee berkata dia pada awalnya tidak meletakkan sebarang sandaran pingat, namun tidak menyangka dapat meraih emas selepas penerjun China menarik diri pada saat akhir.

"Saya rasa sungguh gembira kerana dengan kejayaan ini membolehkan saya beraksi sekali lagi di Sukan Olimpik," katanya yang sebelum ini pernah layak ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia tetapi gagal memperoleh sebarang pingat.

Sementara itu di awal saingan, pasangan Ooi Tze Liang dan Pardika Indoma Pamg yang mengumpul 373.14 mata menghadiahkan emas pertama negara dalam acara 10 meter platform lelaki menewaskan pencabar terdekat dari China, Wang Anqi dan Li Di dengan perbezaan 1.44 mata di tempat kedua, manakala gangsa diraih pasangan Indonesia, Mohd Nasrullah dan Lufti Nico Abdullah dengan 341.04 mata.

Dalam acara sama kategori wanita pula, pasangan negara, Kam Ling Kar dan Jasmine Lai Pui gagal menyekat kehebatan penerjun China, Kang Li dan Sheng Yi untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak dengan 261.20 mata.
Bagi acara 1 meter papan anjal wanita, China sekali lagi membuktikan keunggulan apabila dua peserta mereka, Wang Liting dan Li Ting menduduki dua tempat teratas, manakala wakil negara Cheong Jun Hoong ketiga.

Tamat hari pertama semalam, Malaysia mengungguli dengan dua emas, dua perak, satu gangsa, diikuti China dua emas, dua perak manakala Indonesia dan Singapura masing-masing satu gangsa.

No comments:

Post a Comment