Monday, October 3, 2011

Kemunculan Semula Gandingan Prolifik Negara



Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

KEHADIRAN semula gandingan dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dalam skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang Australia Jumaat ini menceriakan pengendali pasukan, Datuk K Rajagobal untuk menurunkan kesebelasan terbaik.
Selepas berjaya mengangkat nama Malaysia sebagai kuasa besar peringkat Asia Tenggara dengan menjulang trofi Piala AFF Suzuki tahun lalu, gandingan prolifik negara itu jarang dapat digandingkan ekoran kecederaan.
Kali terakhir mereka beraksi bersama adalah Februari lalu ketika Harimau Malaya mengalahkan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam. Bagaimanapun, ketika aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menentang Singapura Julai lalu, Matyo terpaksa merelakan Safee menggalas tugas bersendirian selepas dia mengalami kecederaan hamstring. Skuad negara tumpas 4-6 secara agregat.
“Ini masa yang terbaik untuk saya melihat dua pemain ini bermain semula dan saya berharap mereka dapat beraksi dengan baik. Daripada permainan hari ini (semalam) saya belum nampak keserasian mereka tapi kalau kita hendak tengok mereka kembali serasi, mereka perlu lebih kerap digandingkan... dalam dua atau tiga perlawanan atau lebih.
“Kalau hanya satu perlawanan saya tidak nampak keserasian mereka tapi saya gembira melihat Matyo (Norshahrul) dan Safee ada dalam pasukan negara untuk bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Australia,” katanya sebaik tamat perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Pada perlawanan persahabatan semalam, skuad senior negara menang 3-0 ke atas barisan kendalian Ong Kim Swee.
“Jaringan yang dihasilkan dalam perlawanan ini memberi keyakinan kepada pemain, namun bagi saya bukan jumlah jaringan yang penting. Saya hendak lihat kombinasi antara pemain terutamanya pemain muda.
“Kita sedar Australia berada di tahap yang lain dan corak permainan mereka berbeza daripada kita। Saya harap dalam dua atau tiga hari lagi kita akan dapat melakukan sesuatu,” kata Rajagobal।

Blomqvist teruja bantu Selangor


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“SAYA tidak tahu mengenai Singapura tapi saya dengar khabar mereka pasukan yang kuat.”
Itulah reaksi awal bekas pemain Manchester United (MU), Jesper Blomqvist (kiri) yang akan memperkuatkan pasukan pilihan Selangor bagi menghadapi pilihan Singapura dalam perebutan Piala Sultan Selangor edisi ke-10, esok.
Blomqvist yang berasal dari Sweden mengakui dia begitu teruja untuk turun beraksi membantu Selangor dan akan cuba melakukan yang terbaik bagi membantu Selangor.
“Sebelum ini saya pernah datang ke Malaysia dan sudah biasa dengan cuaca di negara ini. Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada penyokong Selangor tapi akan cuba bantu pasukan atasi Singapura,” katanya ketika ditemui di Hotel Concorde di Shah Alam, semalam.
Blomqvist dan seorang lagi bekas pemain Liverpool, Jason McAteer dipilih beraksi bersama pilihan Selangor bagi memberi keseimbangan dengan kekuatan Singapura diperkuatkan kehadiran ramai pemain berstatus ‘nutralisasi’.
Selain dua bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pilihan Selangor turut diperkuatkan bekas pemainnya, Safee Sali yang beraksi bersama kelab Pelita Jaya di Liga Super Indonesia (ISL) dalam usaha merampas kembali trofi kejuaraan daripada pasukan jiran itu.
Ketika ditanya mengenai posisinya dalam pasukan pilihan Selangor, Blomqvist hanya mahu melakukan yang terbaik buat pasukan Red Giants dan soal posisi semuanya bergantung kepada keputusan jurulatih.
“Posisi asal saya adalah di sayap kiri tapi dalam perlawanan itu nanti saya akan serah kepada jurulatih menentukan posisi saya” katanya yang kini berusia 37 tahun.