Saturday, December 10, 2011

Layanan kelas A


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

TERLEPAS kalungan pingat emas Sukan SEA di Palembang bulan lalu, membawa hikmah lebih besar buat kuartet 4x400 meter negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang mengalungkan pingat kepada mereka diikuti nyanyian Negaraku pada Majlis
Penyampaian Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Nyata semua halangan yang dilalui P Yuvaraj, S Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasale mengharumkan nama negara itu kini terbalas dengan 'layanan istimewa' berkenaan.

“Kami terharu dan gembira apabila Perdana Menteri sendiri yang akan mengalungkan pingat emas itu selepas tidak sempat untuk dikalungkan ketika majlis penyampaian hadiah Sukan SEA tempoh hari.

“Kami sudah buktikan kemampuan kami. Kesudian Perdana Menteri untuk mengalungkan pingat kepada kami meningkatkan lagi semangat kami untuk terus membuktikan kemampuan,” kata Yuvaraj yang pada sebelah pagi turut menerima insentif pada Majlis Penyampaian Anugerah Sports TOTO yang membabitkan 15 pemenang emas Sukan SEA lalu.

Selain kuartet 4x400m itu, turut menerima ganjaran pada majlis Penyampaian Anugerah Sports TOTO itu Bryan Nickson Lomas, Siow Yi Ting, Heidi Gan, Png Hui Chuen, Katrina Ann Abdul Hadi, Cheng Chu Sian, Thor Chuan Leong, Chong Tin Sam, Adrien Ang, Fatehah Mustapa, Koh I Jie, G Yamani, Nur Suryani Mohamed Taibi, Phillipa Yoong, Lee Yang dan skuad bola sepak kebangsaan turut menerima ganjaran masing-masing dengan membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM22,000.

Walaupun sebelum ini ramai yang meragui kemampuan kuartet 4x400 m itu, namun kejayaan berkenaan menjadi ‘batu loncatan’ untuk mereka meraih kejayaan yang lebih besar.

“Semua berjalan dengan baik dan kami juga tetap menjalani latihan seperti biasa. Lepas ini kami akan cuba memperbaiki catatan masa dan membuktikan kami juga mampu mencapai keputusan yang lebih baik,” kata Yuvaraj.

Wednesday, December 7, 2011

Cardiff bina semangat Safiq


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“DIA berlatih dengan penuh bersemangat!”

Itulah reaksi diberi pemilik kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee mengenai tonggak tengah negara yang sedang mengikuti sesi latihan selama tiga minggu bersama kelab berkenaan sejak lebih seminggu lalu.

“Safiq kini berlatih dengan skuad utama iaitu bersama pemain seperti Kenny Miller, Robert Earnshaw dan dia (Safiq) begitu bersungguh-sungguh. Walaupun cuaca di sana agak sejuk sehingga mencecah suhu 3 darjah selsius tapi dia tetap bersemangat setiap kali turun berlatih.

“Saya belum mendapat sebarang respon daripada pemain lain mengenai Safiq tapi dia (Safiq) sama dengan Safee (Sali) juga. Hubungan dia bersama pemain lain tidak ada sebarang masalah dan dia gembira dalam latihan. Mungkin minggu depan kita dapat tahu lebih mengenainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media kejohanan Bola Sepak Junior RSC, semalam.

Respon positif itu mungkin melahirkan rasa gembira kepada penyokong bola sepak negara terutama selepas Safiq dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM-Astro Arena-100Plus 2011, baru-baru ini.

Setakat ini, Tien Ghee masih belum menerima sebarang laporan mengenai prestasi Safiq daripada pengurus pasukan, Malky Mackay.

“Pengurus pun mahu lihat kemahiran, kecergasan, dan bagaimana mental Safiq. Dia harus memenuhi semua syarat liga dan mutu amat penting untuk bermain di sana,” katanya.