Saturday, August 11, 2012

Bicara Ahad (Berita Minggu, 12.08.2012)

Alhamdulillah satu lagi ilmu baru dapat diselesaikan dan selamat di'publish'



Kejayaan pemain perseorangan Lee Chong Wei mengekalkan pingat perak Sukan Olimpik yang dimenangi empat tahun lalu di Beijing, China memang menjadi satu perkhabaran gembira buat peminat sukan badminton tempatan. Prestasi hebat yang dipamerkan pemain itu ketika menentang jaguh China, Lin Dan pada aksi final Olimpik, London minggu lalu turut menjadi rangsangan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk terus melahirkan pemain berkelas dunia. Malah pelbagai kritikan yang dilontarkan kepada BAM yang dilihat terlalu bergantung kepada Chong Wei juga seperti sudah mematangkan badan induk negara itu namun setiap komen pedas perlu berlandaskan fakta tanpa bersifat 'dendam peribadi'. Wartawan BH Sukan, MOHD FITRIE MUHAMAD, mendapatkan reaksi Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh mengenai pelbagai isu yang melanda sukan badminton negara.

S: Kejayaan Chong Wei mengekalkan pingat perak Sukan Olimpik pada dua edisi berturut-turut memang satu perkhabaran yang cukup membanggakan. Tetapi adakah itu boleh dianggap satu kegagalan buat BAM?

J: Tidak ada sesiapa yang mahukan kekalahan dan semua pihak pasti mahu lihat Chong Wei memenangi emas. Memang kita mahu baiki prestasi di Beijing empat tahun lalu dan walaupun gagal, itu bukan satu ukuran tepat untuk mengatakan prestasi buruk kerana beliau (Chong Wei) masih mampu melangkah ke final selepas disulami dengan pelbagai masalah sebelum ke London. Beliau memiliki keinginan tinggi untuk menang dan saya percaya Chong Wei sudah melakukan yang terbaik cuma kurang bernasib baik berbanding Lin Dan. Pada saya, kita bukannya gagal secara keseluruhan, sebaliknya hanya gagal memenangi emas.

S: Daripada kejayaan di Olimpik London kali ini, bagaimana Datuk Seri menilai prestasi yang dipamerkan Chong Wei pada final?

J: Kalau kita lihat perlawanan itu, kekuatan kedua-dua pemain lebih kurang sama. Saya lihat prestasi Chong Wei menunjukkan peningkatan berbanding dengan apa yang pernah dipamerkan di Beijing lalu dan sebab itu saya cakap, Chong Wei kalah kerana kurang bernasib baik. Chong Wei memang seorang pemain berkelas dunia namun harus diingat setinggi mana sekali pun pemain itu berada di peringkat antarabangsa, ia masih belum mampu untuk menjamin semua kejuaraan mampu dicapai dengan mudah. Kita juga mahu lihat kejayaan sama seperti yang diharapkan oleh peminat tempatan. Jangan samakan seperti pepatah "marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar" dengan melontarkan pelbagai kritikan dan terus menerus menyalahkan BAM diatas kekalahan itu.

S: Selepas kekalahan Chong Wei, apa pandangan Datuk Seri dengan pelbagai desakan dan kritikan yang dilemparkan kepada BAM oleh ramai pihak termasuk peminat sukan badminton di negara ini?

J: Saya rasa menguruskan BAM lagi susah daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Mereka tidak ada pasukan seperti kita, malah kita juga ada peminat sendiri. Itu hakikat kerana kita faham dengan kemahuan dan kehendak peminat yang perlu kita tunaikan. Manusia ada perasaan dan saya faham penyokong cukup kecewa apabila Chong Wei kalah namun kita tidak boleh cepat melatah. Apabila apa yang diharapkan tidak kesampaian, mesti ada reaksi negatif timbul termasuk kritikan tetapi bukan bermaksud BAM langsung tidak boleh dikritik dan saya sendiri sedia terima semua kritikan kerana tahu kita bukannya sempurna. Susahlah kalau kita mahu ambil semua pandangan 28 juta rakyat Malaysia kerana setiap orang mesti mempunyai pandangan masing-masing dan setiap pandangan diberikan bukanlah mutlak. Sebaiknya pandangan itu perlu ditapis untuk memilih hanya yang terbaik dapat digunakan. Bagi saya mahu kritik boleh, tetapi orang yang mengkritik itu sendiri perlu masuk ke dalam masalah yang kami hadapi. Cakap memang senang namun yang sepatutnya kita kena tanya dan cari bagaimana cara untuk jadi yang lebih baik.

S: Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberitahu yang beliau faham dengan kekangan dan peruntukan kecil yang disalurkan oleh pihak kerajaan kepada BAM berbanding persatuan sukan lain. Jadi adakah itu alasan kukuh bagi BAM dengan penurunan prestasi pemain?

J: Prestasi pasukan kebangsaan menunjukkan peningkatan tetapi kalau dibanding dengan China, mereka lagi banyak menunjukkan peningkatan. Banyak faktor yang mendorong perkara ini antaranya adalah sumber kewangan. Walaupun peruntukan kecil tetapi itu bukan satu alasan buat kami kerana BAM juga ada penaja sendiri untuk menyalurkan dana pembangunan pemain. Kita sentiasa bertindak mencari jalan keluar untuk mengatasinya supaya tidak terus ketinggalan berbanding negara lain. Daripada semua dana terkumpul itulah kita salurkan insentif kepada setiap negeri supaya banyak aktiviti dapat dilakukan buat pemain berbakat. Setakat ini, kita sudah ada 25 pemain pelapis dan sudah mengenalpasti 70 pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. Jangan cakap kami 'peram' pemain. Tahun lalu sebanyak 42 kejohanan antarabangsa disertai oleh pemain pelapis manakala setakat ini, sebanyak 27 kejohanan sudah disertai dengan purata lapan pertandingan disertai setiap orang pemain. Saya akui untuk lahirkan seorang lagi Chong Wei bukan satu tugas mudah namun kami akan terus berusaha ke arah itu.

S: Mungkin ramai yang berpendapat BAM terlalu bergantung kepada Chong Wei setiap kali turun beraksi di kejohanan besar?

J: Itu tidak betul. Semua perancangan dibuat adalah untuk semua pemain tetapi dalam semua pemain yang kita ada beliau lebih menyerlah berbanding yang lain. Memang prestasi beliau lebih baik jadi saya rasa itu menjadi perkara biasa dan bagi saya itu bukan sesuatu yang salah untuk kita menaruh harapan terhadapnya. Sebagai contoh, saya ada 10 orang anak dan sudah pasti saya mahu lihat kejayaan mereka. Namun bukan semua yang akan berjaya tetapi adakah salah kalau saya terus beri harapan kepada yang berjaya supaya menjadi lebih baik dan mencapai lebih banyak kejayaan.

S: Sebelum ini Datuk Seri menyatakan tidak mahu bertanding bagi mempertahankan jawatan sebagai Presiden BAM dalam pemilihan baru Mei tahun depan. Jadi apa rancangan terakhir yang mahu dilaksanakan dalam BAM?

J: Perjuangan belum selesai dan sebelum Mei tahun depan saya mahu terus melihat perkembangan sukan badminton di negara ini. Selepas ini saya akan merangka satu pelan jangka masa panjang membabitkan tiga temasya Olimpik bermula 2016 di Rio De Janeiro, Brazil dan seterusnya kerana banyak perkara pasti tidak dapat dicapai dalam hanya tempoh pendek, empat tahun saja. Ini adalah perubahan yang akan dilakukan malah kertas kerja mengenainya sudah pun siap dan sedang menunggu masa terbaik untuk dibentangkan. Kita perlu memasang impian tinggi dan walaupun akan memakan belanja sehingga RM20 juta setahun, namun saya akan cuba mencari sumber kewangan daripada penaja untuk merealisasikan impian ini. Jadi sebelum melepaskan jawatan sebagai presiden BAM, saya mahu lihat rancangan ini terlaksana dan berharap ia dapat diteruskan oleh kepimpinan baru nanti.