Tuesday, October 26, 2010

Nekad Ketua Jurulatih Kelantan B.Sathianathan Untuk Cipta Sejarah dan Bukannya Mengulangi Sejarah...

Tekad lakar sejarah

KETUA jurulatih skuad The Red Warriors, B Sathianathan tidak mahu pasukannya hanya sekadar mengulangi sejarah perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu, tetapi berhasrat menjulang kejuaraan itu dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan (NS).

Menurutnya, harapannya cuma ingin mencipta sejarah baru berikutan Sang Kijang tidak pernah membawa pulang piala kebanggaan itu walaupun berjaya melangkah ke peringkat akhir empat kali.


“Saya mahu mencipta sejarah baru bola sepak Kelantan dan bukannya sekadar mengulangi sejarah yang sudah tercipta sebelum ini.


“Bagi saya lebih baik kita berusaha mencipta sejarah baru dan bukannya sekadar berbangga dengan kejayaan yang pernah dikecapi.

Mengulas mengenai pasukan lawan, Sathianathan mengakui NS memiliki kelebihan dan pengalaman pemain menjadikan mereka sebagai satu pasukan berkualiti untuk mempertahankan Piala Malaysia.


Bagaimanapun, katanya, faktor itu bukanlah satu-satunya penentu kemenangan pasukan kerana segala kemungkinan boleh berlaku pada perlawanan akhir nanti.

“Saya mengharapkan komitmen dan kesungguhan semua pemain Kelantan untuk memenangi perlawanan dan memenuhi harapan penyokong.


“Selain itu, saya juga mengharapkan penyokong skuad Kijang memberikan sokongan kepada pasukan dan bukannya datang ke stadium untuk mengganggu tumpuan pemain,” katanya.

My First Back Page (Sport) Menjelang Final Piala Malaysia Kelantan VS N.9

Indra hargai toleransi FAM

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

PENANGGUHAN penggantungan ketua jurulatih, B Sathianathan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin memberi suntikan semangat awal kepada pemain The Red Warriors sebelum menghadapi final Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan (NS), Sabtu ini.

Keputusan penangguhan hukuman itu membolehkan Sathianathan berada bersama pemain di bangku pemain pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin berkata, penangguhan pergantungan itu memberi motivasi untuk mengharungi perlawanan akhir menentang NS buat kali kedua berturut-turut.


“Pelbagai kesukaran terpaksa dihadapi pemain pada perlawanan separuh akhir menentang Kedah, kini ia bagaikan sinar baru kepada kami untuk terus bermain bersungguh-sungguh di perlawanan akhir.

“Saya berterima kasih kepada FAM kerana Sathianathan akhirnya boleh bersama-sama kami di padang menentang NS,” katanya.


Jumaat lalu, Sathianathan dikenakan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM selepas didapati bersalah mempertikai keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dengan memberi kenyataan kepada media berhubung venue bagi perlawanan saingan Liga Super antara Perlis dan Terengganu.

Indra berkata, ketiadaan jurulatih pada separuh akhir kedua lalu mengakibatkan dia dan rakan lain sukar mengatur corak perlawanan.


“Saya juga yakin penyokong dan rakan sepasukan turut gembira dengan penangguhan hukuman ini dan diharap Kelantan dapat membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

Saturday, October 9, 2010

second front pages walaupun kecik

3 beranak hilang ditelan ombak

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
am@hmetro.com.my
2010/10/09

BACHOK: “Saya melihat anak sulung dan bongsu kami sedang terkapai-kapai seolah-olah sedang lemas menyebabkan suami terus berlari ke dalam air untuk menyelamatkan mereka.

SEBAK...Zainab (bertudung biru) melihat mayat anaknya, Fadilah semalam.
SEBAK...Zainab (bertudung biru) melihat mayat anaknya, Fadilah semalam.
CARI...anggota bomba unit penyelam meneruskan usaha mencari dua lagi mangsa.
CARI...anggota bomba unit penyelam meneruskan usaha mencari dua lagi mangsa.

“Bagaimanapun, tiba-tiba ombak besar datang dan menghanyutkan mereka,” kata Zainab Awang, 37, mengenai kejadian suaminya, Noordad Mohd Noor, 51, dan dua anak mereka, Fadilah Aisyah, 11, Mohd Nor Haziq Aiman, 6, hilang ditelan ombak ketika berkelah di Pantai Kemasin di sini, petang semalam.


Zainab berkata, ketika kejadian, anak keduanya, Noradawiyah, 8, sedang berenang di tepi pantai menyebabkan dia terus menarik anaknya itu untuk mengelak perkara buruk berlaku.


“Saya berjaya menariknya kerana dia dekat dengan pantai. Saya hanya mampu melihat kedua-dua anak yang terkapai-kapai itu dari jauh sebelum mereka dan suami hilang sekelip mata,” katanya.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang, dia dan suami berada di tepi pantai sambil mengawasi anak mereka, sedang mandi di pantai berkenaan.

Tidak lama kemudian, mereka melihat Fadilah Aisyah dan Mohd Nor Haziq terkapai-kapai meminta tolong di laut sebelum anak bongsunya hilang daripada penglihatan.

Menurut Zainab, suaminya yang panik terus meluru ke arah Fadilah Aisyah yang berada agak jauh dari tepi pantai.

Katanya, sebaik Nordad tiba di tempat anaknya, dia melihat arus deras datang secara tiba-tiba lalu menghanyutkan dua ahli keluarganya itu.

“Kami sekeluarga ke pantai ini untuk berkelah bersama ahli keluarga lain dan sampai kira-kira jam 2 petang.

“Semua anak saya bersama tiga lagi saudara mereka terus ke pantai untuk mandi sebelum menjamah makanan. Kemudian, sekali lagi mereka ke pantai untuk mandi sebelum berlakunya kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Yuzaini Ahmad Kamil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 4.37 petang dan tiba ke tempat kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bachok bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota skuad skuba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.

“Pada jam 5.52 petang, pasukan penyelamat hanya berjaya menemui seorang mangsa, iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Fadilah Aisyah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga jam 7 malam semalam, dua lagi mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari akan diteruskan hari ini.