Monday, October 3, 2011

Blomqvist teruja bantu Selangor


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“SAYA tidak tahu mengenai Singapura tapi saya dengar khabar mereka pasukan yang kuat.”
Itulah reaksi awal bekas pemain Manchester United (MU), Jesper Blomqvist (kiri) yang akan memperkuatkan pasukan pilihan Selangor bagi menghadapi pilihan Singapura dalam perebutan Piala Sultan Selangor edisi ke-10, esok.
Blomqvist yang berasal dari Sweden mengakui dia begitu teruja untuk turun beraksi membantu Selangor dan akan cuba melakukan yang terbaik bagi membantu Selangor.
“Sebelum ini saya pernah datang ke Malaysia dan sudah biasa dengan cuaca di negara ini. Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada penyokong Selangor tapi akan cuba bantu pasukan atasi Singapura,” katanya ketika ditemui di Hotel Concorde di Shah Alam, semalam.
Blomqvist dan seorang lagi bekas pemain Liverpool, Jason McAteer dipilih beraksi bersama pilihan Selangor bagi memberi keseimbangan dengan kekuatan Singapura diperkuatkan kehadiran ramai pemain berstatus ‘nutralisasi’.
Selain dua bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pilihan Selangor turut diperkuatkan bekas pemainnya, Safee Sali yang beraksi bersama kelab Pelita Jaya di Liga Super Indonesia (ISL) dalam usaha merampas kembali trofi kejuaraan daripada pasukan jiran itu.
Ketika ditanya mengenai posisinya dalam pasukan pilihan Selangor, Blomqvist hanya mahu melakukan yang terbaik buat pasukan Red Giants dan soal posisi semuanya bergantung kepada keputusan jurulatih.
“Posisi asal saya adalah di sayap kiri tapi dalam perlawanan itu nanti saya akan serah kepada jurulatih menentukan posisi saya” katanya yang kini berusia 37 tahun.

No comments:

Post a Comment