Timur: Masjid rumah pengemis
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
bhkb@bharian.com.my
2010/08/27
Peminta sedekah warga asing tidur bergelimpangan jejas keselesaan jemaahKOTA BHARU: Di sebalik tumpuan umat Islam beribadat terutama bersolat tarawih sepanjang Ramadan, Masjid Muhammadi di bandar ini dikesan turut menjadi markas pengemis dari negara jiran.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 20 pengemis warga asing menjadikan masjid itu sebagai tempat mereka bermalam selepas sebelah siangnya keluar mengemis dengan alasan mengutip zakat di sekitar bandar ini.
Namun, sikap mereka yang menjadikan Masjid Muhammadi bagaikan rumah sendiri menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai yang mahu beribadat di situ.
Lebih mencemarkan suasana, ada di antara mereka langsung tidak menunjukkan rasa hormat apabila kebanyakannya dilihat sering tidur bergelimpangan di sekitar kawasan masjid.
Petugas Masjid Muhammadi yang enggan namanya disiarkan, mengakui kawasan masjid sering dipenuhi pengemis setiap tahun terutama ketika Ramadan.
“Mereka bukan saja berada di sekitar kawasan, malah tinggal di masjid ini secara bebas. Sudah jadi kebiasaan di kalangan mereka, setiap kali tiba Ramadan mesti ada yang menjadikan masjid ini sebagai penginapan sementara.
“Setakat ini, pengurusan masjid tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan kecuali mengemis, sesuatu di luar bidang kuasa kami.
Kita cuma berharap mereka menjaga kebersihan masjid sepanjang berada di sini. Biasanya, mereka akan keluar mengemis atau meminta sedekah sebaik selesai solat subuh,” katanya.
Penduduk Kampung Bunga Mas, Mat Salleh Kundor, 57, berkata pengemis boleh diibaratkan menjadikan masjid berkenaan seperti hotel mereka sepanjang Ramadan ini.
Katanya, beliau kurang senang melihat keadaan itu apatah lagi menjadikan masjid sebagai tempat berteduh termasuk mandi dan menggunakan pelbagai kemudahan lain.
“Saya tidak kisah yang mereka menjadikan masjid ini untuk beriktikaf dan beribadat sepanjang Ramadan kerana ia sesuatu yang dituntut. Namun, tindakan menjadikan penginapan sementara datang mengemis adalah sesuatu yang kurang wajar.
“Apatah lagi, mereka tidak menghiraukan kehadiran orang ramai yang datang menunaikan solat, apabila tidur di merata sudut. Saya berharap pihak terbabit mengambil tindakan sewajarnya kerana masjid ini sepatutnya digunakan bagi tujuan ibadat saja,” katanya.
No comments:
Post a Comment