Meraung muka melecur
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
2010/08/24
2010/08/24
KOTA BHARU: Tindakan berani seorang murid prasekolah menyalakan mercun botol ditemui ketika bermain bersama adik perempuannya di kawasan rumah mereka membawa padah apabila dia melecur di muka akibat letupan mercun itu dalam kejadian di Kampung Bilut Banggul dekat sini, pagi semalam.
BERBALUT...Mohd Haziq cedera dua jari tangan kanan akibat terkena mercun ketika bermain bersama kakaknya Nurin Imani yang turut cedera di lengan kiri.
Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa, Raja Afzan Raja Zakaria, 6, bersama adik perempuannya, Raja Hayati, 5, bergegas pulang ke rumah sambil meraung kesakitan apabila mukanya cedera teruk.
Ibunya yang dikenali sebagai Che Nab, 30-an, kemudian meminta bantuan sepupu anak saudaranya, Eddy Sofian Li, 21, untuk membawa anak ketiga daripada enam beradik itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.
Menceritakan kejadian itu, Eddy berkata, kejadian yang menimpa sepupunya itu disedari ibu mangsa apabila anaknya pulang ke rumah dalam keadaan melecur di bahagian muka sambil menangis kesakitan.
“Ibu mangsa panik kerana terkejut. Dalam keadaan kelam-kabut, ibunya meminta bantuan saya menghantar anaknya ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera,” katanya ketika ditemui di Wad Melati HRPZ II di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa dan adiknya menjumpai sebutir mercun botol sebelum mencucuh mercun itu beberapa kali namun tidak berhasil.
Eddy berkata, selepas beberapa kali mencuba, mercun itu meletup tiba-tiba dan mencederakan muka mangsa, namun adiknya tidak cedera.
Menurutnya, ketika kejadian, ayah mangsa, Raja Zakaria tiada di rumah kerana menunaikan umrah di Makkah dan keluarganya tidak bercadang memaklumkan kejadian itu kerana bimbang menjejaskan ibadahnya.
Sementara itu dalam kejadian di Bachok, dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan lima tahun cedera dengan seorang daripadanya hampir putus jari kanan dan terpaksa menerima 19 jahitan di hospital sama kira-kira seminggu lalu.
Kanak-kanak itu, Mohd Haziq Haikal Mohd Zukrin, 4, cedera di jari kanan selepas dikatakan bermain mercun bola dijumpai di laman berhampiran rumahnya di Kampung Aril, dekat Bachok.
“Ketika kejadian, Mohd Haziq dan kakaknya, Nurin Imani, 5, asyik bermain dengan rakan seusianya di hadapan surau di kampung ini, manakala saya dan isteri sedang menunaikan solat sunat Tarawih apabila dikejutkan dengan tangisan mereka.
“Sebaik mendengar tangisan itu, saya bergegas keluar dan terkejut melihat tangan Mohd Haziq berlumuran darah, manakala Nurin pula cedera di lengan kirinya. Mereka dibawa ke HRPZ II Kota Bharu untuk rawatan sebelum dimasukkan ke wad untuk beberapa hari,” katanya.
Kira-kira dua minggu lalu, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera di muka dan tangan selepas dipercayai bermain mercun bola di laman rumahnya di Kampung Tersang dekat Pasir Mas.
Akibat kecederaan itu, mangsa, Shamin Nasran Abd Rahman, terpaksa menerima rawatan di HRPZ II selama beberapa hari dan sudah dibenarkan pulang.
segalanya di:-
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Meraungmukamelecur/Article
No comments:
Post a Comment