Saturday, December 10, 2011

Layanan kelas A


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

TERLEPAS kalungan pingat emas Sukan SEA di Palembang bulan lalu, membawa hikmah lebih besar buat kuartet 4x400 meter negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang mengalungkan pingat kepada mereka diikuti nyanyian Negaraku pada Majlis
Penyampaian Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Nyata semua halangan yang dilalui P Yuvaraj, S Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasale mengharumkan nama negara itu kini terbalas dengan 'layanan istimewa' berkenaan.

“Kami terharu dan gembira apabila Perdana Menteri sendiri yang akan mengalungkan pingat emas itu selepas tidak sempat untuk dikalungkan ketika majlis penyampaian hadiah Sukan SEA tempoh hari.

“Kami sudah buktikan kemampuan kami. Kesudian Perdana Menteri untuk mengalungkan pingat kepada kami meningkatkan lagi semangat kami untuk terus membuktikan kemampuan,” kata Yuvaraj yang pada sebelah pagi turut menerima insentif pada Majlis Penyampaian Anugerah Sports TOTO yang membabitkan 15 pemenang emas Sukan SEA lalu.

Selain kuartet 4x400m itu, turut menerima ganjaran pada majlis Penyampaian Anugerah Sports TOTO itu Bryan Nickson Lomas, Siow Yi Ting, Heidi Gan, Png Hui Chuen, Katrina Ann Abdul Hadi, Cheng Chu Sian, Thor Chuan Leong, Chong Tin Sam, Adrien Ang, Fatehah Mustapa, Koh I Jie, G Yamani, Nur Suryani Mohamed Taibi, Phillipa Yoong, Lee Yang dan skuad bola sepak kebangsaan turut menerima ganjaran masing-masing dengan membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM22,000.

Walaupun sebelum ini ramai yang meragui kemampuan kuartet 4x400 m itu, namun kejayaan berkenaan menjadi ‘batu loncatan’ untuk mereka meraih kejayaan yang lebih besar.

“Semua berjalan dengan baik dan kami juga tetap menjalani latihan seperti biasa. Lepas ini kami akan cuba memperbaiki catatan masa dan membuktikan kami juga mampu mencapai keputusan yang lebih baik,” kata Yuvaraj.

No comments:

Post a Comment