Sunday, November 27, 2011

Igauan Bahrain


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“CORAK permainan Malaysia banyak meningkat sejak kebelakangan ini.”
Itu luahan pertama keluar daripada bibir kapten skuad Olimpik Bahrain, Abdulla Khalid Alhazaa ketika ditanya mengenai kekuatan skuad negara menjelang perlawanan ketiga Kumpulan C kelayakan Olimpik, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Katanya, kejayaan Harimau Muda mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini turut menjadi antara faktor kepada kerisauan skuad kendalian Salman Shareeda itu.
Namun, dalam akur dengan aksi cemerlang dan peningkatan yang ditunjukkan anak buah Ong Kim Swee, Abdulla masih menaruh keyakinan pasukannya mampu menumpaskan tuan rumah.
“Kami tidak boleh pandang rendah dengan keupayaan Malaysia. Mereka sebuah pasukan yang hebat malah sejak kebelakangan ini mereka menunjukkan banyak peningkatan.
“Saya akui dengan peningkatan dan aksi cemerlang yang ditunjukkan pasukan Malaysia, tapi saya masih percaya Bahrain mampu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui di Padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.
Sama seperti pasukan negara yang tewas 0-2 kepada Syria, Bahrain turut mengalami kekalahan kedua di tangan Jepun dengan jaringan yang sama selepas tewas kepada Syria 1-3 dalam perlawanan pertama, dan kini di tangga ketiga Kumpulan C tanpa sebarang mata.

No comments:

Post a Comment