Tuesday, March 29, 2011

Sayu..Hasratnya Tidak Tercapai....

Kempunan nasi minyak

TUMPAT: “Saya terkilan kerana tidak sempat menyediakan nasi minyak seperti diminta arwah suami sempena hari lahirnya yang ke-50, pada 31 Mac ini,” kata Salina Mat Rani, 33, isteri kepada seorang pemborong ikan yang maut dalam kemalangan di Kampung Bendang Luasdi sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Allahyarham Mohd Zin Muhamad yang dalam perjalanan bersama rakannya, maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir dari arah bertentangan dalam kejadian di Cabang Empat, dekat sini.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta dinaiki mangsa bersama rakannya dirempuh kenderaan lain dari belakang menyebabkan kenderaan itu menggelungsur ke hadapan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori pasir.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya turut parah dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Menceritakan pertemuan terakhirnya, Salina berkata sebelum kejadian arwah suaminya itu memaklumkan hasratnya bertemu seorang rakan di Cabang Empat Tumpat dan keluar rumah dengan menaiki kereta kira-kira jam 10 pagi.

“Saya lihat arwah suami tergesa-gesa ketika keluar dari rumah dan hanya memaklumkan kepada saya yang dia bersama seorang rakannya dikenali sebagai Mi mahu berjumpa kawan mereka di Tumpat.

“Kebiasaannya sebelum keluar ke mana-mana, arwah suami terlebih dulu menjemput anak bongsu, Mohd Amirul Iman, 5, dari sekolah tadika, namun hari ini (semalam) dia terus keluar tanpa mengambil anak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HT di sini semalam. Menurutnya, dia yang pelik perangai suami cuba menghubunginya, namun tidak mendapat jawapan.

“Saya cuba menelefon arwah pada jam 11.52 pagi, namun panggilan saya tidak dijawab. Ketika cuba menghubunginya pada kali kedua, seorang anggota bomba menjawabnya sebelum memaklumkan kejadian kemalangan menimpa suami.

“Ketika itu hati saya berdebar-debar kerana tidak sangka dia terbabit dalam kemalangan, malah kami baru saja bertemu, cuma kali terakhir pertemuan arwah begitu tergesa-gesa meninggalkan rumah,” katanya sebak.

Katanya, meskipun reda tetapi tetap terkilan kerana tidak sempat menyediakan nasi minyak yang diminta suaminya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

“Saya bercadang menunaikan hasratnya. Lagipun arwah beria-ia mahu makan nasi minyak air tangan saya pada ulang tahun hari kelahirannya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah lori pasir, menyebabkan seorang maut di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment