Wednesday, September 18, 2013

PFAM Nadi Profesionalisme

Tawaran gaji lumayan bukannya satu jaminan pemain bola sepak berstatus profesional untuk terlepas daripada ancaman gejala rasuah, mengatur keputusan perlawanan bahkan ada yang menjadi mangsa keadaan apabila kontrak ditamatkan awal apabila cedera serta tidak dibayar gaji selama beberapa bulan. Penubuhan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) di Malaysia dilihat sebagai alternatif memperjuangkan nasib pemain. Wartawan BH Sukan, Mohd Fitrie Muhamad mendapatkan pandangan Presiden PFAM, Hairuddin Omar mengenai isu itu.


Wartawan: Ramai yang tidak mengetahui mengenai kewujudan PFAM yang kini dilihat kembali aktif. Gambarkan secara umum?

Hairuddin: Bertepatan dengan aspirasi Persatuan Pemain Profesional Dunia (FIFPro), kita sebagai pelopor profesional bola sepak tempatan juga seiring dengan perkembangan semasa. Asasnya, objektif utama `penubuhan semula' PFAM adalah untuk membantu pemain profesional berdaftar yang bermasalah. Kita mahu menjadi suara kepada pemain profesional, membela nasib, menyokong dan menganjurkan aktiviti sesama ahli. Dalam objektif ini, PFAM menyenaraikan tiga perkara asas, informasi, pendidikan dan komunikasi. Informasi berhubung kait dengan makluman kepada pemain yang bergelar profesional. Pendidikan pula, kami mengambil tanggungjawab mendidik pemain muda supaya lebih berdisiplin bertepatan dengan status profesional. Contohnya mengajak memerangi gejala rasuah, menjauhkan mereka daripada aktiviti tidak sihat, di dalam atau luar padang kerana seorang pemain profesional pastinya menjadi ikon dan menjadi tumpuan. Komunikasi pula mengajar pemain berhubung dengan majikan atau pemegang saham bola sepak, FAM, persatuan negeri, agensi lain yang berkaitan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan sebagainya.

S: Memandangkan PFAM baru beberapa bulan kembali aktif, apa yang mahu dicapai dalam tempoh terdekat ini?
   
J: Ketika awal penubuhan dulu, kebanyakan pemain seperti tidak tahu di mana mahu meluahkan permasalahan yang timbul. Jadi saya ambil tanggungjawab sebagai presiden untuk cuba bantu generasi baru. Jika gagal menyelesaikan masalah, kami masih ada ruang lain untuk mencari penyelesaian termasuk memanjangkan ke FIFPro peringkat Asia dan FIFA. Bila berpeluang, saya mahu tolong dan harap persatuan ini terus berkembang. Saya mensasarkan untuk menambah bilangan ahli terlebih dulu dengan sasaran 300 pemain berdaftar sehingga hujung tahun ini. Lebih ramai ahli, lebih mudah untuk PFAM merancang aktiviti dan memudahkan kami membantu. Pemain ternama dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo juga turut berdaftar dengan FIFPro. Itu membuktikan komitmen mereka dalam menjaga nasib pemain dan kita juga perlu melakukan perkara sama. Menjelang tahun depan, diharap PFAM sudah memiliki struktur lengkap dan bersedia menerima sebarang aduan dan berkhidmat kepada ahli. Selepas final Piala Malaysia nanti, Presiden FIFPro Division Asia/Oceania, Brendan Schwab akan datang ke sini untuk membentuk jawatankuasa lengkap merangkumi setiausaha persatuan dan apabila semuanya lengkap baru kami boleh merancang dan menjalankan aktiviti.
   
S: Walaupun bergelar pemain profesional, pemain masih dihantui pelbagai masalah terutama dengan majikan. Apa komen?
   
J: Perlu saya tegaskan, penubuhan PFAM bukan bermaksud mencari masalah dengan majikan. Kami sebenarnya mahu membantu tingkatkan bola sepak Malaysia dan sebab itulah kami mahu semua yang terbabit dalam industri ini bersikap profesional, khasnya pemain. Sejak kembali aktif, kami bersedia untuk bertemu FAM, persatuan negeri atau kelab dalam meningkatkan tahap profesional. Ketika menyertai kongres FIFPro Asia di Australia baru-baru ini, saya lihat kebanyakan isu yang dibangkitkan ialah masalah kontrak dan beberapa kes membabitkan soal kelewatan bayaran gaji. Ia turut berlaku di Korea Selatan yang memang dikenali memiliki liga yang terbaik. Kebanyakan wakil setiap negara membentangkan masalah sama.
   
S: Adakah isu kontrak dan gaji akan menjadi agenda utama perjuangan PFAM?
   
J: Hakikatnya, bola sepak Malaysia kembali meriah sejak dihimpit masalah rasuah pada era 90-an. Apabila persatuan lengkap, kami harus sehala dengan FAM, persatuan negeri dan kelab. Jadi PFAM akan adakan pertemuan dengan FAM dan pihak terbabit secepat mungkin. Kami bercadang mewujudkan satu dana untuk membela nasib pemain, memberi ruang kepada mereka menyambung pengajian malah dana itu juga boleh membantu pemain sekiranya ahli keluarga menghadapi masalah kesihatan. Kami akan terus bekerjasama dengan FAM untuk cuba membuat penyelarasan kontrak pemain bagi mengelakkan pelbagai masalah timbul. Di Australia, setiap pasukan bertanding diwajib menyerahkan deposit gaji pemain untuk tempoh semusim dan badan induk kebangsaan itu sendiri yang mengambil tugas membuat bayaran gaji kepada pemain semua pasukan. Ia dapat memastikan tiada berlakunya masalah gaji tertunggak seperti yang sering membebankan pemain masa kini. Kami juga mahu mencadangkan kepada FAM mengenai gaji minimum terutama kepada pemain baru bergelar profesional serta mengadakan anugerah khas kepada pemain sebagai tanda penghargaan.
   
S: Adakah tawaran gaji puluhan ribu menjamin masa depan pemain. Wujud dakwaan kontrak kebanyakan pemain sekarang tidak begitu seimbang dan ada yang merugikan?
   
J: PFAM akan memberikan usul kepada FAM untuk cuba membuat penambahbaikan kontrak pemain. Kita perlu meneliti kontrak pemain luar negara dan menggabungkan aspek terbaik untuk pemain tempatan. Berdasarkan apa yang berlaku kini, banyak kes pemain ditamatkan kontrak apabila cedera dan hanya dibayar untuk tempoh dua atau tiga bulan gaji saja, sedangkan baki kontrak masih panjang. Situasi ini tidak sama berbanding pemain luar negara yang terus dibayar sehingga pulih daripada kecederaan. Seperti di Jepun dan Australia, majikan tidak boleh membatalkan kontrak pemain sesuka hati jika berlaku kecederaan panjang. Pasukan perlu mempertahankan hak pemain kerana mereka cedera ketika mewakili pasukan. Mengenai soal gaji, dulu jumlahnya tidak seperti sekarang dan setiap pemain perlu berusaha lebih untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Bagi saya, tahap liga serta sambutan peminat semakin meningkat dan perkembangan itu membantu kepada tawaran gaji lebih baik. Apabila gaji mahal, pemain juga harus elak daripada mendekati rasuah. Cuma harus diingatkan, tidak bermakna pemain itu boleh cepat berpuas hati sebaliknya pemain yang bergaji besar harus memberikan sesuatu yang setimpal.
   
S: Apabila majikan membayar gaji tinggi, pemain akan mudah dituduh menerima rasuah apabila prestasi pasukan merudum?
   
J: Antara peranan PFAM ialah mendidik pemain supaya mengelak gejala rasuah, dadah dan perkara negatif lain. Bukan pemain saja yang harus dipersalahkan kerana ada faktor lain yang mendorong pemain. Mungkin mereka menghadapi masalah gaji lewat. Sebagai seorang pemain, jika dijaga dengan baik, rasanya tiada sebab mereka melakukan semua itu. Tetapi jika gaji tertunggak sehingga dua atau tiga bulan, itu yang menyebabkan pemain berada dalam keadaan terdesak dan terdorong melakukan gejala negatif itu.
   
S: Bagaimana pula dengan isu penyalahgunaan dadah?
   
J: Itu kes terpencil dan bilangannya masih kecil. Kalau boleh, saya sarankan ujian doping dilakukan setiap perlawanan dan bukannya tertumpu pada perlawanan besar saja. Dengan apa yang berlaku sekarang, ia merugikan pemain itu sendiri apatah lagi ia membabitkan pemain muda. Saya harap ia akan jadi pengajaran kepada pemain lain supaya menjauhkan diri dengan dadah. Ruginya melihat karier pemain berbakat musnah begitu saja akibat dadah. Kalau kes lain, mungkin ada yang boleh tolong tetapi sebaliknya kalau membabitkan dadah. Pemain itu sendiri kena salahkan diri mereka sendiri.
   
S: Adakah PFAM merancang untuk mengenakan syarat pemain mesti berdaftar sebelum boleh memulakan aksi bersama pasukan pada musim depan?
   
J: Kalau boleh, itulah yang sepatutnya. Kita begitu mahu jumpa FAM supaya memaklumkan kepada setiap majikan mendaftarkan pemain dengan PFAM. Kalau ikut kontrak sepatutnya itu yang perlu dilakukan. Mungkin sebelum ini pemain kurang mengetahui mengenai PFAM tetapi saya yakin perkara itu akan berubah. Jika PFAM memiliki ramai ahli, kita juga boleh mencari perlindungan insurans melalui persatuan untuk melindungi pemain dan keluarga mereka kerana apa yang ada melalui FAM sekarang, perlindungan hanya kepada pemain saja.

No comments:

Post a Comment