Saturday, September 29, 2012

Perginya Seorang Legenda

Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dalam kenangan....

 Al-Fatihah.....

Berbicara mengenai bola sepak, sesiapa pun pasti tahu akan sukan nombor satu dunia itu.
Itu juga tidak terkecuali di Malaysia dan jika sekarang pasukan kebangsaan negara kian menjadi fenomena terutamanya selepas kejayaa memenangi kejuaraan Piala AFF Suzuki pada 2010, Pingat emas Sukan SEA, 2009 dan 2011. Antara yang sudah pasti yang jadi bualan ramai sekarang pastinya berkisar kepada penyerang, Safee Sali dan Nazmi Faiz Mansor selepas kemampuan duo berkenaan memikat kelab luar di Indonesia dan portugal.

Tetapi bukan itu yang mahu dibicarakan tetapi ia lebih kepada kisah seorang legenda, Tan Sri Abdul Ghani Minhat. Mungkin generasi sekarang seperti tidak tahu siapa individu berkenaan tetapi jika diungkit kepada sejarah kecemerlangan bola sepak Malaysia, sudah pasti nama Ghani yang lebih dikenali dengan jolokan 'Raja Bola' menjadi topik utama.

Tetapi semuanya itu sudah dan akan terus menjadi kenangan buat pelopor serta peminat sukan ini apabila bekas pengendali skuad kebangsaan itu menghembuskan nafas terakhir pada jam10.34 pagi Jumaat (28 September 2012) di Institut Jantung Negara (IJN)

Apa yang jelas, pemergian legenda bola sepak negara itu bagaikan satu kehilangan permata berharga yang tiada tolok gantinya.

Namun, penulis yang baru berusia 24 tahun berasa cukup bertuah kerana menjadi salah seorang generasi 'Y' yang berkesempatan mengenali Allahyarham dengan lebih rapat ketika menjalankan tugas sebagai seorang wartawan sukan di Berita Harian bagi menyiapkan satu tugasan menjejaki jaguh sukan negara.

benar kata orang, makin tua makin berisi...penulis ketika menemubual Allahyarham cukup terhibur dengan tutur kata dan celotehnya. Bagaimanapun, setiap patah perkataan yang terbit dari mulutnya, cukup bernilai dan bukan hanya omongan kosong.

Apa yang pasti, sepanjang menemu bual Allahyarham kira-kira 1 jam setengah, penulis berasa cukup terhibur terutamanya setiap kali bergelak ketawa dengan Allahyarham.

Untuk tatapan, dibawah turut disertakan 'Artikel Jejak Jaguh BH' yang diterbitkan padahari Jumaat (13 Julai 2012)



P/S: Gambar diambil pada 12 Julai 2012

`Bola getah jadi karipap'

Siapa tidak kenal Raja Bola, Datuk Ghani Minhat - yang terkenal dengan gelaran Raja Bola Malaysia?

Sebelum adanya penyerang tersohor, Allahyarham Mokhtar Dahari, insan inilah yang menjadi permata buat pasukan bola sepak negara - pemain hebat yang lahir di zamannya.

Kerjayanya bermula seawal usia 10 tahun pada 1945 di Sekolah Princess Road (sekarang dikenali Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda). Terlalu banyak kesukaran yang dilaluinya termasuk kekurangan kelengkapan asas, misalnya bola, kasut dan padang untuk beraksi.

 Bercerita mengenai kisah hidupnya, Ghani nyata tidak begitu beruntung seperti yang dinikmati generasi sekarang. Beliau pernah menggunakan bola tenis untuk bermain bola sepak - sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi itulah yang dilakukannya demi minat.

 "Sejak zaman Jepun lagi saya sudah bermain bola. Pantang jumpa kawasan lapang, saya dan kawan-kawan terus bermain bola sepak dan kami pernah gunakan bola tenis untuk bermain.

 "Daripada kesukaran itulah saya mula mendapat idea untuk mencipta bola sendiri. Saya pernah menyelinap masuk ke kebun getah orang kampung - dapatkan titisan susu getah untuk dijadikan bola.

 "Getah itu dilenyek seperti membuat karipap dan meniup angin ke dalamnya. Selepas ditiup, bola itu dibalut dengan kain - jadilah sebiji bola. Jika rosak, kami buat lagi yang baru," katanya.

 Ketika mewakili sekolahnya, Ghani cuma berkaki ayam' setiap kali turun beraksi, tetapi keperitan itulah yang banyak mengajarnya menjadi tabah dan mengerti betapa sukarnya untuk berjaya.

Ketika bersama pasukan Red Giants, rekod demi rekod dicipta lagenda ini, antaranya menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan dan membantu Selangor mencipta rekod kemenangan paling besar, menang 18-0 ke atas Terengganu - rekod itu terus kekal sehingga ke hari ini.

INFO

Nama: Abdul Ghani Minhat

Umur: 77

Tarikh Lahir: 23 Disember 1935

Tempat Lahir: Kampung Solok, Rantau, Negeri Sembilan

Antara Pencapaian Antarabangsa: Juara Pestabola Merdeka 1958, 1959, 1960; Pingat Emas Sukan SEAP, 1961; Pingat gangsa Sukan Asia 1962; Tempat kedua Kejohanan Kelab Asia 1967, Juara Piala Malaysia 8 kali