Monday, August 4, 2014

"Kalu kito tok makea, ada ore caro kito? Ore koho suko adolah!

"Kalu kito tok makea, ada ore caro kito? Ore koho suko adolah! (Kalau kita tidak makan, ada orang fikirkan kita? Orang akan gelakkan kita adalah!).
    Mungkin bagi sesetengah orang, dialog itu tidak memberi sebarang makna atau hanya layak dianggap sebagai satu ungkapan biasa bagi yang terbiasa keluar daripada setiap bibir manusia.
    Sebaliknya, dialog versi dialek Kelantan dalam drama bersiri Butang Baju Melayu terbitan Astro ini cukup memberi kesan buatku dan seakan sinonim dengan prinsip hidup aku.
    Ye, memang dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia tidak dapat lari daripada masalah dan sebagai insan biasa adakalanya kita mungkin tidak berupaya untuk berdepan semuanya seorang diri.
    Benar, keluarga menjadi tunjang atau tulang belakang bagi aku dalam menghadapi segala halangan namun adakah selamanya aku harus bergantung harap kepada keluarga?
    Detik demi detik, saat demi saat, minit demi minit, jam demi jam, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun dan seterusnya aku harus akur yang aku perlu harungi segala dugaan sendirian.
    Jadi apa ertinya ayat itu buat aku? Umumnya, ayat ringkas itu memberi aku bayangan betapa kita sendiri yang menentukan hidup, sama ada lurus, bengkang bengkok atau sebagainya.
    Asasnya, semuanya bergantung pada diri dan prinsip itu sentiasa teguh dan berharap ia akan berterusnya.
    Itu ego? Ya, itu ego dan aku tidak mampu untuk hipokrit sebaliknya aku terpaksa akur ego bukanlah sifat yang buruk tetapi sifat itu harus ada dalam diri.
   Kenapa tidak untuk bersikap ego jika sifat itu memberi manfaat buat diri aku. Aku tidak rela kalah dan tidak rela selamanya bergantung kepada orang.
    Dan haruskah aku harus terlalu memikirkan soal orang lain sedangkan orang lain juga belum pasti memikirkan soal kita.
    Benar, jika perkara itu baik tidak salah untuk kita bersikap 'busy body' namun jika sebaliknya atau tidak kena dengan 'selera' kita, adakah selamanya kita akan terus celaru memikirkannya?
    Biar apa orang mahu kata namun aku akur, pendirian itu tidak mungkin menebal dalam diri aku  kerana akhirnya hanya aku yang akan membuat pilihan.
    Kenapa aku begini? Adakalanya itu persoalan juga yang sering berlegar di benak fikiran aku.
   Dasarnya, apa yang pernah aku lalui jelas mengajar aku betapa orang lain tidak selamanya dapat bantu aku dan jika bukan aku sendiri yang bantu, siapa lagi?