Tuesday, March 29, 2011

Sayu..Hasratnya Tidak Tercapai....

Kempunan nasi minyak

TUMPAT: “Saya terkilan kerana tidak sempat menyediakan nasi minyak seperti diminta arwah suami sempena hari lahirnya yang ke-50, pada 31 Mac ini,” kata Salina Mat Rani, 33, isteri kepada seorang pemborong ikan yang maut dalam kemalangan di Kampung Bendang Luasdi sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Allahyarham Mohd Zin Muhamad yang dalam perjalanan bersama rakannya, maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir dari arah bertentangan dalam kejadian di Cabang Empat, dekat sini.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta dinaiki mangsa bersama rakannya dirempuh kenderaan lain dari belakang menyebabkan kenderaan itu menggelungsur ke hadapan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori pasir.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya turut parah dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Menceritakan pertemuan terakhirnya, Salina berkata sebelum kejadian arwah suaminya itu memaklumkan hasratnya bertemu seorang rakan di Cabang Empat Tumpat dan keluar rumah dengan menaiki kereta kira-kira jam 10 pagi.

“Saya lihat arwah suami tergesa-gesa ketika keluar dari rumah dan hanya memaklumkan kepada saya yang dia bersama seorang rakannya dikenali sebagai Mi mahu berjumpa kawan mereka di Tumpat.

“Kebiasaannya sebelum keluar ke mana-mana, arwah suami terlebih dulu menjemput anak bongsu, Mohd Amirul Iman, 5, dari sekolah tadika, namun hari ini (semalam) dia terus keluar tanpa mengambil anak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HT di sini semalam. Menurutnya, dia yang pelik perangai suami cuba menghubunginya, namun tidak mendapat jawapan.

“Saya cuba menelefon arwah pada jam 11.52 pagi, namun panggilan saya tidak dijawab. Ketika cuba menghubunginya pada kali kedua, seorang anggota bomba menjawabnya sebelum memaklumkan kejadian kemalangan menimpa suami.

“Ketika itu hati saya berdebar-debar kerana tidak sangka dia terbabit dalam kemalangan, malah kami baru saja bertemu, cuma kali terakhir pertemuan arwah begitu tergesa-gesa meninggalkan rumah,” katanya sebak.

Katanya, meskipun reda tetapi tetap terkilan kerana tidak sempat menyediakan nasi minyak yang diminta suaminya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

“Saya bercadang menunaikan hasratnya. Lagipun arwah beria-ia mahu makan nasi minyak air tangan saya pada ulang tahun hari kelahirannya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah lori pasir, menyebabkan seorang maut di tempat kejadian.

Saturday, March 26, 2011

Satu Pengharapan Daripada Seorang Insan Yang Bergelar OKU







Hanya sebut nama siti


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: “Siti (Datuk Siti Nurhaliza Tarudin) comel, suara dia sedap. Kalau boleh jumpa dia, saya nak peluk dan cium dia puas-puas.” Begitulah yang sering dituturkan seorang gadis orang kurang upaya (OKU), Suhaida Hassan, 27.

Suhaida yang tidak mampu bertutur selepas mengalami demam panas ketika berusia setahun, hanya tahu menyebut nama Siti setiap hari, malah turut mengumpul ratusan gambar dan cakera padat video (VCD) nyanyian Siti Nurhaliza.

Walaupun tidak mampu bertutur, nama Siti tidak pernah lekang daripada mulut Suhaida dan berbanding perkataan lain, dia mampu menyebut nama Siti dengan baik.

Ibunya, Siti Zarahah Abd Rahman, 65, berkata walaupun anaknya cacat, namun minat anak bongsunya terhadap penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu melebihi segala-galanya.

Katanya, setiap kali ditanya mengenai Siti Nurhaliza, Suhaida tersenyum seorang diri dan memuji penyanyi itu.

“Selepas demam panas sejak berusia setahun, dia tidak dapat bertutur seperti biasa. Apabila meningkat dewasa, hanya Siti Nurhaliza yang ada dalam fikirannya.

“Kehidupan Suhaida setiap hari bagaikan tidak lengkap jika tidak menatap gambar Siti Nurhaliza dan menyanyikan lagu dendangan penyanyi itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Nangka, di sini, baru-baru ini.

Siti Zarahah, berkata Suhaida mengamuk dan marah kepada sesiapa yang mempertikai keupayaan Siti mahupun menyembunyikan gambar penyanyi itu.

“Suhaida turut membawa empat bakul gambar dan VCD album Siti Nurhaliza sebagai teman tidurnya.

“Dia sering mengikuti perkembangan terbaru penyanyi itu termasuk perkahwinan, gosip dan album terbarunya,” katanya.

Menurutnya, setiap hari Suhaida mengemas dan mengelap lantai kerana memikirkan Siti Nurhaliza akan datang ke rumahnya.

“Setiap kali bangun pagi, dia segera mengemas dan membersihkan persekitaran rumah bagi persediaan untuk menyambut kehadiran Siti Nurhaliza ke rumah,” katanya.

p/s: Ape yang aku harapkan daripada penerbitan article ini adalah melihat impian, Suhaida yang juga merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dapat bertemu dengan idolanya, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin....Moga ape yang diharapkan Suhaida tercapai...Amin....