Saturday, May 26, 2012

Pencinta Kejayaan Tidak Diundang

Masih berkudis!
Gejala rasuah babitkan pengadil tanggungjawab FAM

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

ISU terbaru pengadil terbabit dengan skandal mengatur keputusan perlawanan boleh memberi kesan kepada pemain!
  Itu pendapat bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berhubung kes terbaru membabitkan pengadil, Shokri Nor yang ditahan pihak berkuasa Singapura sebelum perlawanan Lions XII dan Sarawak, Selasa lalu.
  Khalid berpendapat, FAM harus bertanggungjawab kerana pengadil tertakluk di bawah tugas badan induk itu, malah pernah menepis dakwaan bekas Ketua Pegawai Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton yang mengatakan ada pegawainya terbabit dalam gejala itu.
  “Perkara ini boleh memberi kesan kepada pemain. Ia berlaku pada saingan liga kita dan mereka perlu rasa malu dengan apa yang berlaku, apatah lagi ia dikatakan berlaku di Pulau Pinang tapi disiasat pihak berkuasa Singapura.
   “Jika benar ia berlaku di sini, itu seolah-olah kita tidak serius menangani masalah ini hinggakan ia terus berlaku. Pengadil adalah di bawah FAM dan kalau dakwaan itu benar, mereka (FAM) perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.
   Laporan menyebut pengadil berpengalaman negara itu didakwa oleh mahkamah Singapura atas tuduhan mengatur perlawanan Liga Super antara Lions XII dan Sarawak di Stadium Jalan Besar, Selasa lalu. Selain Shokri, turut didakwa adalah bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Thana Segar.
   “Mungkin ia berlaku disebabkan mereka terlalu ‘kebal’ untuk dikritik. Sepatutnya semua kritikan diterima dan dinilai sewajarnya. FAM perlu berlaku adil dengan semua pihak. Jangan hanya pandai jatuhkan hukuman kepada pemain saja, pegawai juga perlu dihukum jika didapati bersalah,” katanya.

Sunday, February 5, 2012

Rezeki Berganda Maulidul Rasul



Pada mulanya, hanya tuhan saja yang tahu bagaimana mengantuknya ketika menunggu "abang-abang besar" FAM meeting yang mengambil masa sehingga lebih empat jam. Boleh dikatakan hampir semua reporter hari itu tertidur sekali dengan aku ekoran terpaksa menunggu terlalu lama. Tapi hasilnya, memang puas hati apabila dua 'story' hasil tulisanku berjaya mendominasi dua halaman utama Berita Minggu pada 5 Februari 2012 iaitu di 1st page (FRONTPAGES) dan last page (BACKPAGE) dengan tertera "single byline"
PUASSSSSS!!!!!!!!!

FRONTPAGE

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

18 pemain, jurulatih digantung
(Headline)

KUALA LUMPUR: Lapan belas pemain dan seorang jurulatih skuad Piala Presiden yang terbabit dalam rasuah bola sepak menghadapi hukuman gantung seumur hidup atau larangan dua tahun menyertai sebarang aktiviti dan pertandingan bola sepak di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat EXCO FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.

Nama pemain serta jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar itu serta jenis hukuman akan diumumkan oleh FAM minggu depan.

"Ini membuktikan FAM bertindak tegas terhadap perilaku mana-mana pemain dan pegawai pasukan. Saya harap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada pemain lain," titah baginda. Sebelum ini, kancah bola sepak tempatan digegarkan isu rasuah apabila beberapa pemain pasukan Perlis disoal siasat kerana disyaki menerima wang daripada bookie untuk mengatur perlawanan ketika dibelasah 7-2 oleh MP Muar dalam aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Sebagai langkah awal membanteras kegiatan itu, FAM melaksanakan pendekatan 3E (education, engagement, enforcement) atau pendidikan, pembabitan dan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan rasuah dalam arena bola sepak tempatan.

Tengku Abdullah juga berkata, melalui pendekatan 3E, selepas ini semua proses pendaftaran pemain perlu melalui satu badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengenal pasti pemain yang memiliki rekod buruk.

"Kalau ada pemain yang mempunyai rekod tidak baik, kita tidak benarkan mereka beraksi dan lesen tidak akan dikeluarkan," titah baginda.

BACKPAGE

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

FAM pantau gaji pemain (Headline)

SEMUA transaksi pembayaran gaji pemain akan dipantau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Langkah itu diiringi amaran keras kepada semua pasukan supaya tidak memandang ringan perkara berkaitan pembayaran gaji demi mengelak masalah yang berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) hampir saban tahun sebelum ini.

"FAM akan wujudkan satu badan bebas yang akan memantau transaksi pembayaran gaji di setiap pasukan yang bertanding dan turut mendapat kerjasama pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Kita perlu ambil kira kemahuan penyokong yang mahu melihat aksi terbaik dipamerkan pemain. Oleh itu, kami bersedia menggantung mana-mana pasukan daripada menyertai pertandingan bola sepak di negara ini. Tindakan ini berkuat kuasa serta merta hari ini (semalam)," kata Naib Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin, selepas mesyuarat Exco kali keempat yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuala Lumpur, semalam.

Amaran ini bukan kerana mahu menghukum dan membebankan pasukan bertanding, sebaliknya ia perlu dilihat daripada sudut lebih positif termasuk untuk mengelak pemain terbabit dengan kegiatan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan.

Hamidin berkata, masalah kelewatan bayaran gaji turut menjadi antara punca mendorong pemain untuk terbabit menerima ganjaran daripada bookie.

Begitupun katanya, FAM hanya akan menggantung pasukan daripada menyertai pertandingan selepas surat amaran kedua tidak diendahkan.

"Kami mahu pemain menerima gaji setimpal seperti yang dipersetujui antara dua pihak (pemain dan pasukan). Sekiranya pasukan gagal menjelaskan bayaran pada bulan pertama, kami akan mengeluarkan surat amaran pertama.

"Surat amaran terakhir akan dikeluarkan jika masalah itu berulang di bulan kedua dan sekiranya ia masih berlaku, FAM akan menghalang mereka daripada bertanding sehingga mereka melunaskan semua tunggakan gaji pemain," katanya.

Saturday, February 4, 2012

Lebih sukar


Norshahrul minta rakan persiap mental, fizikal untuk pertahan Piala AFF

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

NORSHAHRUL Idlan Talaha percaya tekanan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki penghujung tahun ini, lebih besar dan berat.

Lantas penyerang prolifik Kelantan itu mengingatkan semua rakan sepasukan supaya menyiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal kerana menjangkakan harapan dan impian peminat untuk melihat skuad kebangsaan mengekalkan kejuaraan, lebih tinggi.

“Saya tahu pasukan lain akan cuba mengalahkan kita kali ini. Tekanan pasti lebih berat dan buat masa ini, kami giat berlatih untuk membina keyakinan diri apabila berdepan tekanan sebenar nanti.

“Kami perlu menghadapi semua ini bagi membuktikan kemampuan sebenar dan mengikis tanggapan kemenangan Malaysia dua tahun lalu adalah kerana nasib semata-mata,” katanya selepas sesi latihan fasa pertama skuad kebangsaan di Padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.

Penyerang yang mesra dipanggil Mat Yo itu berkata, dia juga tidak kisah siapa gandingannya di barisan depan selepas kedudukan Safee Sali kini tampak ‘tergantung’ bersama kelabnya, Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia.

“Pasti jurulatih (Datuk K Rajagobal) ada jawapannya dan saya percaya pemain lain juga mampu menggantikan tempat Safee.”

Skuad kebangsaan dijangka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi pada 24 Februari di Australia dan bertemu Filipina, 29 Februari.

Saturday, January 7, 2012

'Kuasa Piya'



Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

Kapten Red Warriors tekad bantu pertahan gelaran lagi

APA yang berkocak dalam minda Mohd Badhri Radhzi ketika ini adalah memastikan Kelantan dapat mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah dengan apa cara sekalipun apabila menentang Negeri Sembilan, malam esok.

Fokus ketua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti untuk menang dan menjaga reputasi mereka selaku juara bertahan walaupun akur lawan mereka yang bergelar juara baru Piala Malaysia itu turut ada muslihat menafikan impian besar mereka itu.
“Kami tidak akan ambil mudah perlawanan Sabtu ini (malam esok). Selepas segala persiapan awal misi kami sudah pasti mempertahankan gelaran,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Piya.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu menambah: “Negeri Sembilan masih pasukan kuat.

Walaupun ada beberapa tonggak utama mereka berpindah ke pasukan lain musim ini tapi mereka masih ada ramai pemain muda berkualiti dan berpengalaman. Kami perlu berwaspada.”

Bagi Negeri Sembilan kunjungan ke gelanggang harus dengan misi sama.
Ini adalah penampilan ketiga mereka da lam perlawanan Sumbangsih selepas menempuh detik kecewa gagal pada 2004 dan 2010.

The Red Warriors yang juga juara Liga Super, musim lalu berusaha untuk mengekalkan trofi itu buat kali kedua berturut-turut selepas berjaya melakukannya kali pertama, tahun lalu selepas mengetepikan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam.

Ketika disentuh mengenai masalah komunikasi dihadapi bersama pemain import sebelum ini, Piya menjelaskan perkara itu semakin berkurangan malah ia bertambah baik dan berharap mampu dipertingkatkan sebelum aksi sebenar.

“Buat masa sekarang, masalah komunikasi dengan pemain import sekarang sudah semakin baik berbanding sebelum ini. Sebelum perlawanan esok, kami perlu terus memperbaiki aspek ini untuk menjamin keputusan yang lebih baik dan apa yang diharapkan kami mampu mengatasinya sebelum perlawanan itu nanti,” katanya.

Walaupun trofi yang dipertaruhkan malam esok bukan lagi dianggap sebagai rebutan utama pasukan bertanding namun kemenangan dalam aksi pertama liga begitu penting sebagai momentum sebelum meneruskan perlawanan seterusnya.

Thursday, January 5, 2012

Trofi Semangat


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

Trofi semangat Kelantan, NS tekad mulakan langkah 2012 dengan trofi pertama

MUNGKIN Piala Sultan Ahmad Shah bukan trofi rebutan utama tetapi bagi Kelantan dan Negeri Sembilan yang bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, kemenangan dalam perlawanan sumbangsih pembuka tirai Liga Super itu membawa banyak signifikasi.

Juara Liga Super Kelantan berusaha untuk mengekalkan trofi itu buat dua tahun berturut-turut, selain menjadikannya sebagai medan terbaik menyemarakkan perjuangan The Red Warriors dalam Liga Malaysia musim ini.

Sebaliknya, juara Piala Malaysia Negeri Sembilan pula berharap percubaan kali ketiga dalam perlawanan sumbangsih kali ini, berhasil membawa pulang trofi itu selepas cubaan pada 2004 dan 2010 berakhir kehampaan.

Sehubungan itu, tiada istilah sambil lewa atau tidak serius mengiringi langkah pemain kedua-dua pasukan apabila masuk ke padang kerana Piala Sultan Ahmad Shah mampu menceriakan koleksi kejuaraan skuad Peter Butler dan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Malah pertukaran venue pada saat-saat akhir dan kegagalan untuk menjalani latihan dengan sempurna ekoran masalah cuaca buruk di Kota Bharu juga tidak merencatkan semangat Kelantan.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai mereka (Negeri Sembilan) kerana lebih baik fokus kepada persiapan pasukan sendiri. Kalau mereka ada pemain muda dan berpengalaman, kami juga ada pemain yang bagus.

“Pada perlawanan itu (persahabatan), saya gunakan ramai pemain muda, jadi ia bukan ukuran sebenar kekuatan kami,” kata Butler merujuk kepada kekalahan 1-3 dalam perlawanan persahabatan tempoh hari.

Saturday, December 10, 2011

Layanan kelas A


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

TERLEPAS kalungan pingat emas Sukan SEA di Palembang bulan lalu, membawa hikmah lebih besar buat kuartet 4x400 meter negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang mengalungkan pingat kepada mereka diikuti nyanyian Negaraku pada Majlis
Penyampaian Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Nyata semua halangan yang dilalui P Yuvaraj, S Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasale mengharumkan nama negara itu kini terbalas dengan 'layanan istimewa' berkenaan.

“Kami terharu dan gembira apabila Perdana Menteri sendiri yang akan mengalungkan pingat emas itu selepas tidak sempat untuk dikalungkan ketika majlis penyampaian hadiah Sukan SEA tempoh hari.

“Kami sudah buktikan kemampuan kami. Kesudian Perdana Menteri untuk mengalungkan pingat kepada kami meningkatkan lagi semangat kami untuk terus membuktikan kemampuan,” kata Yuvaraj yang pada sebelah pagi turut menerima insentif pada Majlis Penyampaian Anugerah Sports TOTO yang membabitkan 15 pemenang emas Sukan SEA lalu.

Selain kuartet 4x400m itu, turut menerima ganjaran pada majlis Penyampaian Anugerah Sports TOTO itu Bryan Nickson Lomas, Siow Yi Ting, Heidi Gan, Png Hui Chuen, Katrina Ann Abdul Hadi, Cheng Chu Sian, Thor Chuan Leong, Chong Tin Sam, Adrien Ang, Fatehah Mustapa, Koh I Jie, G Yamani, Nur Suryani Mohamed Taibi, Phillipa Yoong, Lee Yang dan skuad bola sepak kebangsaan turut menerima ganjaran masing-masing dengan membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM22,000.

Walaupun sebelum ini ramai yang meragui kemampuan kuartet 4x400 m itu, namun kejayaan berkenaan menjadi ‘batu loncatan’ untuk mereka meraih kejayaan yang lebih besar.

“Semua berjalan dengan baik dan kami juga tetap menjalani latihan seperti biasa. Lepas ini kami akan cuba memperbaiki catatan masa dan membuktikan kami juga mampu mencapai keputusan yang lebih baik,” kata Yuvaraj.

Wednesday, December 7, 2011

Cardiff bina semangat Safiq


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“DIA berlatih dengan penuh bersemangat!”

Itulah reaksi diberi pemilik kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee mengenai tonggak tengah negara yang sedang mengikuti sesi latihan selama tiga minggu bersama kelab berkenaan sejak lebih seminggu lalu.

“Safiq kini berlatih dengan skuad utama iaitu bersama pemain seperti Kenny Miller, Robert Earnshaw dan dia (Safiq) begitu bersungguh-sungguh. Walaupun cuaca di sana agak sejuk sehingga mencecah suhu 3 darjah selsius tapi dia tetap bersemangat setiap kali turun berlatih.

“Saya belum mendapat sebarang respon daripada pemain lain mengenai Safiq tapi dia (Safiq) sama dengan Safee (Sali) juga. Hubungan dia bersama pemain lain tidak ada sebarang masalah dan dia gembira dalam latihan. Mungkin minggu depan kita dapat tahu lebih mengenainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media kejohanan Bola Sepak Junior RSC, semalam.

Respon positif itu mungkin melahirkan rasa gembira kepada penyokong bola sepak negara terutama selepas Safiq dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM-Astro Arena-100Plus 2011, baru-baru ini.

Setakat ini, Tien Ghee masih belum menerima sebarang laporan mengenai prestasi Safiq daripada pengurus pasukan, Malky Mackay.

“Pengurus pun mahu lihat kemahiran, kecergasan, dan bagaimana mental Safiq. Dia harus memenuhi semua syarat liga dan mutu amat penting untuk bermain di sana,” katanya.