Saturday, February 4, 2012

Lebih sukar


Norshahrul minta rakan persiap mental, fizikal untuk pertahan Piala AFF

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

NORSHAHRUL Idlan Talaha percaya tekanan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki penghujung tahun ini, lebih besar dan berat.

Lantas penyerang prolifik Kelantan itu mengingatkan semua rakan sepasukan supaya menyiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal kerana menjangkakan harapan dan impian peminat untuk melihat skuad kebangsaan mengekalkan kejuaraan, lebih tinggi.

“Saya tahu pasukan lain akan cuba mengalahkan kita kali ini. Tekanan pasti lebih berat dan buat masa ini, kami giat berlatih untuk membina keyakinan diri apabila berdepan tekanan sebenar nanti.

“Kami perlu menghadapi semua ini bagi membuktikan kemampuan sebenar dan mengikis tanggapan kemenangan Malaysia dua tahun lalu adalah kerana nasib semata-mata,” katanya selepas sesi latihan fasa pertama skuad kebangsaan di Padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.

Penyerang yang mesra dipanggil Mat Yo itu berkata, dia juga tidak kisah siapa gandingannya di barisan depan selepas kedudukan Safee Sali kini tampak ‘tergantung’ bersama kelabnya, Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia.

“Pasti jurulatih (Datuk K Rajagobal) ada jawapannya dan saya percaya pemain lain juga mampu menggantikan tempat Safee.”

Skuad kebangsaan dijangka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi pada 24 Februari di Australia dan bertemu Filipina, 29 Februari.

No comments:

Post a Comment