Tuesday, July 26, 2011

Janji Chong Wei

Chong Wei sedia ‘takluk’ dunia

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
bhsukan@bharian.com.my

 RASHID  (kiri) dan jurulatih beregu  Rexy Maniaky berbincang mengenai undian Kejohanan Badminton Dunia  di London, Ogos ini.RASHID (kiri) dan jurulatih beregu Rexy Maniaky berbincang mengenai undian Kejohanan Badminton Dunia di London, Ogos ini.


Undian Kejohanan Dunia beri bayangan jaguh negara bakal rentap Lin Dan

LEE Chong Wei dijangka berentap dengan musuh tradisi, Lin Dan bagi memburu mahkota kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia yang bakal diadakan di London bermula 8 sehingga 14 Ogos ini.

Dalam undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam, pemain nombor satu dunia itu akan membuka cabaran di Wembley Indoor Arena menentang pemain Thailand, T Saensomboonsuk di pusingan pertama.

Apapun, cabaran getir bagi Chong Wei dijangka bermula pada pusingan ketiga apabila dia dijangka menentang pilihan kesembilan kejohanan, Park Sung Hwan dari Korea dan andai melepasi halangan itu satu lagi nama besar, Chen Long dari China bakal menunggunya.

Berpandu kepada status dunia, pemain negara mampu meniti ranjau itu dan mungkin bertemu bintang Indonesia, Taufik Hidayat (pilihan ke-4) atau Chen Jin (pilihan ke-6) dari China dalam separuh akhir nanti.

Apapun, ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek tetap menganggap undian kali ini satu tugasan getir harus dilalui jaguh negara.

“Jika Chong Wei berhempas pulas menang di pusingan awal dan terpaksa bermain diset penentuan , itu boleh menjejaskan prestasinya pada perlawanan seterusnya sehingga ke final.

“Undian ini masih sukar kerana ada pemain China yang sedikit sebanyak boleh memberi tentangan sengit kepada Chong Wei walaupun dia boleh menang ke atas pemain berkenaan,” katanya ketika ditemui di majlis undian kejohanan itu, di Hotel Park Royal, semalam.

Rashid berkata pemain perseorangan negara itu harus lebih fokus satu persatu lawan dan jangan terus fokus ke arah final.

“Apa yang penting apabila sudah melepasi pusingan pertama... pusingan kedua. Jadi, perlawanan seterusnya akan lebih baik,” katanya yang menganggap kejohanan dunia kali ini medan terbaik untuk Chong Wei muncul pemain pertama negara memenangi gelaran.

Monday, July 25, 2011

Jangan Fikir Lawan Lebih Kuat: Kim Swee

"Tunjuk Kebolehan Sebenar, Elak Persembahan Ditenggelamkan Aksi Deretan Pemain Bintang"

"BERTARUNG dengan kekuatan sendiri... jangan fikir kekuatan lawan." Itu pesanan Ong Kim Swee kepada anak didiknya menjelang perlawanan getir menentang Chelsea dalam siri persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ketua jurulatih skuad Olimpik negara itu tidak mahu pemain turun beraksi dalam keadaan tertekan kerana terlalu menghormati dan memikirkan kekuatan dimiliki Chelsea.

"Saya mahu pemain yang akan diturunkan nanti menunjukkan kebolehan mereka bagi mengelakkan persembahan pasukan negara ditenggelamkan oleh aksi daripada deretan pemain bintang dimiliki pasukan lawan.

"Perlawanan ini juga menjadi satu peluang terbaik kepada pemain dalam skuad ini membuktikan kemampuan dimiliki tanpa mengira siapa lawan mereka.

"Selain itu, peluang menentang kelab handalan dunia juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh setiap pemain untuk memperbaiki mutu permainan sebelum turun beraksi dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kim Swee menambah, selepas 14 sesi latihan yang sudah dilalui sehingga kini, dia sudah ada bayangan siapa bakal diturunkan sebagai kesebelasan utama.

APA KATA PEMINAT

"Kunjungan Chelsea ke Malaysia memberi peluang kepada penyokong kelab itu melihat secara dekat aksi pemain yang bertaraf dunia. Mereka juga memberi banyak kepuasan kerana semua pemain utama kelab itu berada dalam senarai siri jelajah Asia ini"

Justin George, 34, Peguam
"Secara tidak langsung perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Chelsea ini dapat merapatkan hubungan antara pemain kebangsaan dengan pemain luar yang bertaraf dunia. Ia juga peluang kepada peminat bola sepak melihat idola mereka dari dekat"

K Krishnan, 62, Dari Kuala Lumpur
"Perlawanan menentang Chelsea akan memberi pendedahan terbaik kepada skuad Olimpik negara dan mampu meningkatkan mutu permainan sebelum mengharungi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik"

Wednesday, July 20, 2011

'Saya bangkit'


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
bhsukan@bharian.com.my
2011/07/20

IDOLA Piala Suzuki AFF, Khairul Fahmi Che Mat mungkin berada dalam krisis ketika ada jari-jari yang kerap menuding ke arahnya sebagai punca gawang skuad Harimau Malaya terbolos banyak kali kebelakangan ini.

Namun, penjaga gol utama yang mesra dengan panggilan Apek tidak peduli gangguan seperti ini ketika detik getir menentang Singapura dalam kelayakan Piala Dunia, zon Asia, Sabtu ini dianggap lebih penting.

“Inilah bola sepak. Anda harus kuat menerima kritikan. Saya dapat rasakan kritikan di sekeliling saya tapi ini hanya menguatkan tekad saya membantu kejayaan pasukan negara. Itu yang penting,” katanya.

Segala cemuhan dilontar ke arah penjaga gol Kelantan itu harus mencengkam minda Khairul dan harap dia akan bangkit menunjuk taring mengekang jentera serangan Singapura yang harus menggegar di halaman sendiri.


Singapura bakar semangat Apek
KHAIRUL Fahmi Che Mat tidak mahu dua kekalahan kepada Arsenal dan Liverpool menjejaskan tumpuan skuad Harimau Malaya ketika digamit cabaran besar berdepan Singapura dalam pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.

Penjaga gol utama itu yang lebih mesra dengan panggilan Apek akur betapa perit dia melihat gawang pasukan negara terbolos 10 kali dalam perlawanan menentang dua kelab tersohor Liga Perdana Inggeris itu, minggu lalu tapi pantas menyuarakan dia tetap berfikiran positif dalam situasi tertekan ini.

“Saya terasa kecewa tapi fokus adalah kepada usaha membendung jentera serangan Singapura,” katanya yang melepaskan tujuh gol ketika di benam Arsenal (4-0) dan Liverpool (6-3).

“Kekalahan besar kepada dua kelab Inggeris menjadi satu pengajaran berguna kepada semua pemain untuk terus meningkatkan prestasi permainan.

“Saya anggap keputusan dua perlawanan ini tiada sebarang kaitan dengan kecederaan bahu saya. Peluang menentang lawan ternama ini memberi ruang memperbaiki kelemahan.”

Khairul yang juga tonggak utama kejayaan Kelantan, musim ini turut menuntut kepada semua pemain supaya memberi tentangan sengit kepada Singapura.

“Peluang kami membenam Singapura ada. Saya pasti ketua jurulatih (Datuk K Rajagobal) ada strategi tersendiri. Apa yang penting kita cuba dapatkan seberapa banyak gol di gelanggang lawan sebelum perlawanan timbal balik di Bukit Jalil 28 Julai ini.”

Thursday, June 30, 2011

My First Front Page For Berita Harian

Ambiga degil
Pengacau tetap teruskan perhimpunan tanpa permit


Oleh Wan Faizal Ismayatim, Nor Hatina Shuib dan Mohd Fitrie Muhamad
bhnews@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan haram yang dirancang diadakan di ibu negara pada 9 Julai ini berdegil untuk meneruskan perhimpunan walaupun Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pemuda UMNO bersedia membatalkan perhimpunan masing-masing jika kumpulan pengacau terbabit bersetuju tidak meneruskan hasrat itu.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mengetuai kumpulan pengacau menganjurkan perhimpunan itu, berkata pihaknya akan meneruskan perhimpunan dan tidak akan memohon mendapatkan permit polis.

“(Perhimpunan) 9 Julai ini tetap jalan (diteruskan). Kita tidak akan memohon permit sebab polis sudah cakap tidak akan mengeluarkan (permit),” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini semalam.

Ambiga dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, hadir memberi keterangan hampir dua jam berhubung ucapan mereka ketika pelancaran perhimpunan haram itu di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur/Selangor di sini, pada 19 Jun lalu.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana cuba mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Ditanya sumber kewangan untuk mengadakan perhimpunan haram itu, Ambiga berkata, ia diperoleh melalui penjualan baju T serta sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Ibrahim ketika ditemui media selepas memberi keterangan, berkata PERKASA sedia membatalkan perhimpunan jika kumpulan pengacau berkenaan bersetuju menarik balik rancangan mereka.

Katanya, perhimpunan yang dirancang oleh PERKASA bertujuan membuktikan kepada orang ramai bahawa tindakan kumpulan pengacau itu tidak dipersetujui sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Kalau mereka teruskan juga perhimpunan haram itu tanpa permit, saya juga tidak menghalang ahli PERKASA dan NGO lain yang mahu berhimpun bagi tujuan menghalang perhimpunan haram oleh kumpulan berkenaan,” katanya yang memberi keterangan berkaitan ucapannya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, juga pada 19 Jun lalu.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar yang hadir untuk memohon permit perhimpunan yang dinamakan Himpunan Patriot, berkata pergerakan itu tetap meneruskan perhimpunan walaupun tanpa permit jika kumpulan pengacau itu meneruskan rancangan mereka.

Sementara itu, A Samad berkata, beliau akan menyertai perhimpunan haram itu kerana berpendapat ia perlu disokong dan bukan dibantah, selain yakin perhimpunan berkenaan akan berlangsung secara aman

Tuesday, May 24, 2011

‘Saya sudah lihat sinaran baru’

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
2011/05/24

Piya yakin Red Warriors calon paling layak julang Piala FA musim ini

KAPTEN skuad Kelantan, Mohd Badhri Rahdzi sudah melihat satu sinaran baru betapa pasukannya kini berada dalam landasan terbaik untuk mengungguli lebih daripada satu trofi, musim ini.
Dengan kedudukan selaku pendahulu Liga Super berbekal 44 mata walaupun seri 2-2 ketika menentang Harimau Muda A di Shah Alam, kelmarin.
Pemain berpengalaman itu beranggapan The Red Warriors memiliki segala ramuan buat mencipta gemilang di bawah pengendalian Datuk M Karathu.
“Kami sudah pun berjaya menjulang Piala Sumbangsih awal musim ini. Saya rasa musim ini menjadi musim terbaik kepada Kelantan untuk terus merangkul gelaran tambahan, termasuk Piala FA dan Liga Super.
“Kejayaan layak ke final Piala FA (11 Jun ini) menjadi satu lagi petanda baik kepada kita untuk melihat Kelantan menjulang baki kejuaraan dalam liga tempatan (Piala Malaysia, Piala FA, Liga Super).
Namun ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Piya. Esok, Kelantan akan bertemu T-Team di tempat sendiri dan pemain itu jelas ghairah mahu membimbing rakan sepasukan merakamkan kemenangan penting di hadapan penyokong setia.
Ketika disentuh mengenai peluang pasukannya pada final Piala FA, Piya yang mula menyertai Kelantan sejak 2009 lalu berkata kejayaan menumpaskan Selangor dengan jaringan besar di separuh akhir lalu jelas menunjukkan kesungguhan semua pihak untuk melihat The Red Warriors menjulang lebih banyak kejuaraan dalam satu musim.
“Saya masih beranggapan peluang Kelantan dan Terengganu masih seimbang, 50-50 tetapi kami perlu berwaspada dengan ancaman mereka terutama jentera serangannya yang begitu konsisten dalam pemburuan gol musim ini,” katanya.

Tuesday, March 29, 2011

Sayu..Hasratnya Tidak Tercapai....

Kempunan nasi minyak

TUMPAT: “Saya terkilan kerana tidak sempat menyediakan nasi minyak seperti diminta arwah suami sempena hari lahirnya yang ke-50, pada 31 Mac ini,” kata Salina Mat Rani, 33, isteri kepada seorang pemborong ikan yang maut dalam kemalangan di Kampung Bendang Luasdi sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Allahyarham Mohd Zin Muhamad yang dalam perjalanan bersama rakannya, maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir dari arah bertentangan dalam kejadian di Cabang Empat, dekat sini.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta dinaiki mangsa bersama rakannya dirempuh kenderaan lain dari belakang menyebabkan kenderaan itu menggelungsur ke hadapan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori pasir.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya turut parah dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Menceritakan pertemuan terakhirnya, Salina berkata sebelum kejadian arwah suaminya itu memaklumkan hasratnya bertemu seorang rakan di Cabang Empat Tumpat dan keluar rumah dengan menaiki kereta kira-kira jam 10 pagi.

“Saya lihat arwah suami tergesa-gesa ketika keluar dari rumah dan hanya memaklumkan kepada saya yang dia bersama seorang rakannya dikenali sebagai Mi mahu berjumpa kawan mereka di Tumpat.

“Kebiasaannya sebelum keluar ke mana-mana, arwah suami terlebih dulu menjemput anak bongsu, Mohd Amirul Iman, 5, dari sekolah tadika, namun hari ini (semalam) dia terus keluar tanpa mengambil anak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HT di sini semalam. Menurutnya, dia yang pelik perangai suami cuba menghubunginya, namun tidak mendapat jawapan.

“Saya cuba menelefon arwah pada jam 11.52 pagi, namun panggilan saya tidak dijawab. Ketika cuba menghubunginya pada kali kedua, seorang anggota bomba menjawabnya sebelum memaklumkan kejadian kemalangan menimpa suami.

“Ketika itu hati saya berdebar-debar kerana tidak sangka dia terbabit dalam kemalangan, malah kami baru saja bertemu, cuma kali terakhir pertemuan arwah begitu tergesa-gesa meninggalkan rumah,” katanya sebak.

Katanya, meskipun reda tetapi tetap terkilan kerana tidak sempat menyediakan nasi minyak yang diminta suaminya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

“Saya bercadang menunaikan hasratnya. Lagipun arwah beria-ia mahu makan nasi minyak air tangan saya pada ulang tahun hari kelahirannya itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah lori pasir, menyebabkan seorang maut di tempat kejadian.

Saturday, March 26, 2011

Satu Pengharapan Daripada Seorang Insan Yang Bergelar OKU







Hanya sebut nama siti


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: “Siti (Datuk Siti Nurhaliza Tarudin) comel, suara dia sedap. Kalau boleh jumpa dia, saya nak peluk dan cium dia puas-puas.” Begitulah yang sering dituturkan seorang gadis orang kurang upaya (OKU), Suhaida Hassan, 27.

Suhaida yang tidak mampu bertutur selepas mengalami demam panas ketika berusia setahun, hanya tahu menyebut nama Siti setiap hari, malah turut mengumpul ratusan gambar dan cakera padat video (VCD) nyanyian Siti Nurhaliza.

Walaupun tidak mampu bertutur, nama Siti tidak pernah lekang daripada mulut Suhaida dan berbanding perkataan lain, dia mampu menyebut nama Siti dengan baik.

Ibunya, Siti Zarahah Abd Rahman, 65, berkata walaupun anaknya cacat, namun minat anak bongsunya terhadap penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu melebihi segala-galanya.

Katanya, setiap kali ditanya mengenai Siti Nurhaliza, Suhaida tersenyum seorang diri dan memuji penyanyi itu.

“Selepas demam panas sejak berusia setahun, dia tidak dapat bertutur seperti biasa. Apabila meningkat dewasa, hanya Siti Nurhaliza yang ada dalam fikirannya.

“Kehidupan Suhaida setiap hari bagaikan tidak lengkap jika tidak menatap gambar Siti Nurhaliza dan menyanyikan lagu dendangan penyanyi itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Nangka, di sini, baru-baru ini.

Siti Zarahah, berkata Suhaida mengamuk dan marah kepada sesiapa yang mempertikai keupayaan Siti mahupun menyembunyikan gambar penyanyi itu.

“Suhaida turut membawa empat bakul gambar dan VCD album Siti Nurhaliza sebagai teman tidurnya.

“Dia sering mengikuti perkembangan terbaru penyanyi itu termasuk perkahwinan, gosip dan album terbarunya,” katanya.

Menurutnya, setiap hari Suhaida mengemas dan mengelap lantai kerana memikirkan Siti Nurhaliza akan datang ke rumahnya.

“Setiap kali bangun pagi, dia segera mengemas dan membersihkan persekitaran rumah bagi persediaan untuk menyambut kehadiran Siti Nurhaliza ke rumah,” katanya.

p/s: Ape yang aku harapkan daripada penerbitan article ini adalah melihat impian, Suhaida yang juga merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dapat bertemu dengan idolanya, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin....Moga ape yang diharapkan Suhaida tercapai...Amin....