Monday, July 25, 2011

Jangan Fikir Lawan Lebih Kuat: Kim Swee

"Tunjuk Kebolehan Sebenar, Elak Persembahan Ditenggelamkan Aksi Deretan Pemain Bintang"

"BERTARUNG dengan kekuatan sendiri... jangan fikir kekuatan lawan." Itu pesanan Ong Kim Swee kepada anak didiknya menjelang perlawanan getir menentang Chelsea dalam siri persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ketua jurulatih skuad Olimpik negara itu tidak mahu pemain turun beraksi dalam keadaan tertekan kerana terlalu menghormati dan memikirkan kekuatan dimiliki Chelsea.

"Saya mahu pemain yang akan diturunkan nanti menunjukkan kebolehan mereka bagi mengelakkan persembahan pasukan negara ditenggelamkan oleh aksi daripada deretan pemain bintang dimiliki pasukan lawan.

"Perlawanan ini juga menjadi satu peluang terbaik kepada pemain dalam skuad ini membuktikan kemampuan dimiliki tanpa mengira siapa lawan mereka.

"Selain itu, peluang menentang kelab handalan dunia juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh setiap pemain untuk memperbaiki mutu permainan sebelum turun beraksi dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kim Swee menambah, selepas 14 sesi latihan yang sudah dilalui sehingga kini, dia sudah ada bayangan siapa bakal diturunkan sebagai kesebelasan utama.

APA KATA PEMINAT

"Kunjungan Chelsea ke Malaysia memberi peluang kepada penyokong kelab itu melihat secara dekat aksi pemain yang bertaraf dunia. Mereka juga memberi banyak kepuasan kerana semua pemain utama kelab itu berada dalam senarai siri jelajah Asia ini"

Justin George, 34, Peguam
"Secara tidak langsung perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Chelsea ini dapat merapatkan hubungan antara pemain kebangsaan dengan pemain luar yang bertaraf dunia. Ia juga peluang kepada peminat bola sepak melihat idola mereka dari dekat"

K Krishnan, 62, Dari Kuala Lumpur
"Perlawanan menentang Chelsea akan memberi pendedahan terbaik kepada skuad Olimpik negara dan mampu meningkatkan mutu permainan sebelum mengharungi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik"

No comments:

Post a Comment