Monday, October 3, 2011

Kemunculan Semula Gandingan Prolifik Negara



Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

KEHADIRAN semula gandingan dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dalam skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang Australia Jumaat ini menceriakan pengendali pasukan, Datuk K Rajagobal untuk menurunkan kesebelasan terbaik.
Selepas berjaya mengangkat nama Malaysia sebagai kuasa besar peringkat Asia Tenggara dengan menjulang trofi Piala AFF Suzuki tahun lalu, gandingan prolifik negara itu jarang dapat digandingkan ekoran kecederaan.
Kali terakhir mereka beraksi bersama adalah Februari lalu ketika Harimau Malaya mengalahkan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam. Bagaimanapun, ketika aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menentang Singapura Julai lalu, Matyo terpaksa merelakan Safee menggalas tugas bersendirian selepas dia mengalami kecederaan hamstring. Skuad negara tumpas 4-6 secara agregat.
“Ini masa yang terbaik untuk saya melihat dua pemain ini bermain semula dan saya berharap mereka dapat beraksi dengan baik. Daripada permainan hari ini (semalam) saya belum nampak keserasian mereka tapi kalau kita hendak tengok mereka kembali serasi, mereka perlu lebih kerap digandingkan... dalam dua atau tiga perlawanan atau lebih.
“Kalau hanya satu perlawanan saya tidak nampak keserasian mereka tapi saya gembira melihat Matyo (Norshahrul) dan Safee ada dalam pasukan negara untuk bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Australia,” katanya sebaik tamat perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Pada perlawanan persahabatan semalam, skuad senior negara menang 3-0 ke atas barisan kendalian Ong Kim Swee.
“Jaringan yang dihasilkan dalam perlawanan ini memberi keyakinan kepada pemain, namun bagi saya bukan jumlah jaringan yang penting. Saya hendak lihat kombinasi antara pemain terutamanya pemain muda.
“Kita sedar Australia berada di tahap yang lain dan corak permainan mereka berbeza daripada kita। Saya harap dalam dua atau tiga hari lagi kita akan dapat melakukan sesuatu,” kata Rajagobal।

Blomqvist teruja bantu Selangor


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“SAYA tidak tahu mengenai Singapura tapi saya dengar khabar mereka pasukan yang kuat.”
Itulah reaksi awal bekas pemain Manchester United (MU), Jesper Blomqvist (kiri) yang akan memperkuatkan pasukan pilihan Selangor bagi menghadapi pilihan Singapura dalam perebutan Piala Sultan Selangor edisi ke-10, esok.
Blomqvist yang berasal dari Sweden mengakui dia begitu teruja untuk turun beraksi membantu Selangor dan akan cuba melakukan yang terbaik bagi membantu Selangor.
“Sebelum ini saya pernah datang ke Malaysia dan sudah biasa dengan cuaca di negara ini. Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada penyokong Selangor tapi akan cuba bantu pasukan atasi Singapura,” katanya ketika ditemui di Hotel Concorde di Shah Alam, semalam.
Blomqvist dan seorang lagi bekas pemain Liverpool, Jason McAteer dipilih beraksi bersama pilihan Selangor bagi memberi keseimbangan dengan kekuatan Singapura diperkuatkan kehadiran ramai pemain berstatus ‘nutralisasi’.
Selain dua bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pilihan Selangor turut diperkuatkan bekas pemainnya, Safee Sali yang beraksi bersama kelab Pelita Jaya di Liga Super Indonesia (ISL) dalam usaha merampas kembali trofi kejuaraan daripada pasukan jiran itu.
Ketika ditanya mengenai posisinya dalam pasukan pilihan Selangor, Blomqvist hanya mahu melakukan yang terbaik buat pasukan Red Giants dan soal posisi semuanya bergantung kepada keputusan jurulatih.
“Posisi asal saya adalah di sayap kiri tapi dalam perlawanan itu nanti saya akan serah kepada jurulatih menentukan posisi saya” katanya yang kini berusia 37 tahun.

Monday, September 26, 2011

Satu Lagi Perkara Baru



Ken Nee tempah tiket Sukan Olimpik


Oleh Mohd Fitrie Muhamad


HARI pertama kejohanan Terjun Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, semalam menyaksikan Malaysia bermula baik apabila berjaya merangkul dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Lebih menggembirakan penerjun berpengalaman kebangsaan, Yeoh Ken Nee berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 setelah meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal selepas mengumpul 456.55 mata, mengatasi rakan senegara Ooi Tze Liang yang memperoleh pingat perak dengan kutipan 387.50 mata.
Pingat gangsa milik Timothy Lee dari Singapura dengan catatan 310 mata.
Kee Nee berkata dia pada awalnya tidak meletakkan sebarang sandaran pingat, namun tidak menyangka dapat meraih emas selepas penerjun China menarik diri pada saat akhir.

"Saya rasa sungguh gembira kerana dengan kejayaan ini membolehkan saya beraksi sekali lagi di Sukan Olimpik," katanya yang sebelum ini pernah layak ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia tetapi gagal memperoleh sebarang pingat.

Sementara itu di awal saingan, pasangan Ooi Tze Liang dan Pardika Indoma Pamg yang mengumpul 373.14 mata menghadiahkan emas pertama negara dalam acara 10 meter platform lelaki menewaskan pencabar terdekat dari China, Wang Anqi dan Li Di dengan perbezaan 1.44 mata di tempat kedua, manakala gangsa diraih pasangan Indonesia, Mohd Nasrullah dan Lufti Nico Abdullah dengan 341.04 mata.

Dalam acara sama kategori wanita pula, pasangan negara, Kam Ling Kar dan Jasmine Lai Pui gagal menyekat kehebatan penerjun China, Kang Li dan Sheng Yi untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak dengan 261.20 mata.
Bagi acara 1 meter papan anjal wanita, China sekali lagi membuktikan keunggulan apabila dua peserta mereka, Wang Liting dan Li Ting menduduki dua tempat teratas, manakala wakil negara Cheong Jun Hoong ketiga.

Tamat hari pertama semalam, Malaysia mengungguli dengan dua emas, dua perak, satu gangsa, diikuti China dua emas, dua perak manakala Indonesia dan Singapura masing-masing satu gangsa.

Monday, September 12, 2011

Detik ghairah



Oleh Mohd Fitrie Muhamad

"SAYA mahu jadi orang pertama beraksi di liga England।"

Itulah tekad besar disuarakan Safee Sali yang berlepas ke London, awal pagi tadi untuk menjalani ujian pemilihan selama dua minggu bersama kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City.
Anak kelahiran Kajang, Selangor itu mahu menggunakan peluang itu secara maksimum menimba pengalaman berlatih bersama kelab berkenaan dan sudah bersedia bagi cabaran baru itu.
"Bagi saya tempoh latihan dua minggu begitu membanggakan dan cukup untuk menunjukkan aksi terbaik।
"Kini saya sudah bersedia untuk turun berlatih bersama pemain Cardiff yang lain walaupun sedar akan menerima saingan hebat daripada pemain sedia ada dalam kelab itu," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat, di Plaza Damas, petang semalam.
Safee mencetus dimensi baru bola sepak negara apabila dipilih menjalani latihan bersama Cardiff yang dimiliki rakyat Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee.
Sebelum ini, kapten skuad negara, Safiq Rahim turut dipanggil menjalani latihan bersama kelab berkenaan namun pemain itu perlu menyelesaikan tugas bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia.
Penyerang yang mewakili kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya itu menegaskan dia kini hanya perlu menyesuaikan diri di tempat dan rakan-rakan baru, selebihnya akan digunakan sebaik mungkin untuk meyakinkan pihak pengurusan kelab terbabit।
Menjawab soalan mengenai keupayaan menyesuaikan diri dengan corak permainan fizikal liga Inggeris (EPL), Safee bertegas tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan tidak melakukan yang terbaik.
"Di Pelita Jaya, saya sudah biasa menjalani latihan berbentuk fizikal dan keras. Saya sudah biasa dengan corak permainan begitu dan apa lebih penting adalah buktikan kepada pengurusan kelab berkenaan pemain Malaysia mampu bermain di pentas tertinggi.
"Saya juga tidak mahu memikirkan soal peluang terpilih atau pun tidak dan apa yang penting cuba lakukan yang terbaik memikat pihak pengurusan kelab. Apa yang diharapkan semua peminat dan penyokong saya dapat mendoakan yang terbaik sepanjang saya menyertai latihan bersama kelab berkenaan," katanya.

Sunday, September 11, 2011

KL bukan lagi pasukan boleh dipandang sebelah mata


Oleh Mohd Fitrie Muhamad

DUA kemenangan berturut-turut dilakar Kuala Lumpur kini harus dilihat satu ancaman baru kepada pasukan berstatus elit dalam Kumpulan D, termasuk Selangor.
Kejayaan anak didik Razip Ismail membuat kejutan menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Selayang, malam kelmarin harus mengundang sikap waspada daripada lawan ketika buruan slot ke suku akhir makin rancak.
Kemenangan itu yang hadir selepas kejayaan menewaskan Polis 3-0 dalam perlawanan pertama 6 September lalu membuktikan skuad kendalian Razip tidak lagi layak digelar pasukan kerdil yang boleh dipandang sebelah mata.
Kita tidak boleh ambil mudah kerana setiap pasukan yang kita lawan selepas ini pasti melihat kita sebagai ancaman kepada mereka. Pihak lawan pasti akan berusaha lebih untuk cuba mengalahkan Kuala Lumpur.
Saya harap pemain dapat mengekalkan keyakinan mental dan terus mempertingkatkan prestasi mereka kerana setiap perlawanan yang kita lalui akan datang adalah lawan yang berbeza, kata Razip ketika ditemui sejurus tamat perlawanan, kelmarin.
Razip juga turut menghamburkan kata-kata pujian kepada anak buahnya terutamanya di barisan pertahanan yang dilihat beraksi cemerlang mengekang asakan pihak lawan dari pelbagai sudut.
Pemain saya bermain dan bertahan baik mengekang asakan T-Team, katanya.
Kuala Lumpur menentang pasukan tetangga, Selangor di gelanggang sendiri, esok.

Sunday, September 4, 2011

'Biar saya saja rasa tertekan'



KIM Swee (kiri) mengawasi sesi latihan skuad Olimpik di Wisma FAM.



Oleh Mohd Fitrie Muhamad

mfitrie@bharian.com.my


KIM Swee (kiri) mengawasi sesi latihan skuad Olimpik di Wisma FAM।

Pemain tambah yakin apabila lepasi pusingan pertama: Kim Swee

WALAUPUN mencatat lima kemenangan daripada tujuh perlawanan persahabatan di Slovakia, jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee masih bersikap realistik dan tidak mahu meletakkan sebarang tekanan terhadap anak buahnya dalam misi kelayakan Olimpik menentang Jepun, 21 September ini.
“Kita perlu realistik tapi bukan bermakna kita akan mudah mengalah. Saya boleh janjikan pemain akan memberikan sepenuhnya bagi memberikan saingan sengit dan cuba untuk layak.
“Saya tidak suka meletakkan sebarang tekanan, biarlah tekanan itu hanya ada pada saya, bukan pada pemain. Lagipun, saya anggap ia bukan tekanan, sebaliknya satu cabaran kepada saya dan semua pemain untuk lebih fokus kepada latihan dan perlawanan,” katanya.
Sebelum ini skuad Olimpik negara menjalani latihan lima minggu di Slovakia dan mengadakan tujuh perlawanan persahabatan menentang kelab liga divisyen satu dan dua negara berkenaan.
Skuad kendalian Kim Swee juga dijadualkan melalui dua lagi perlawanan persahabatan menentang kelab Al-Arabi yang beraksi dalam saingan Piala AFC dan skuad Olimpik Oman, sebelum berangkat ke Jepun.
“Sudah tentu pemain bertambah yakin selepas melepasi pusingan pertama dan layak ke pusingan kedua kerana tiada sesiapa yang memberi harapan untuk kita mara ke kelompok 12 pasukan terbaik Asia dalam peringkat terakhir kumpulan.
“Saya tidak mahu bermegah dengan mengatakan pasukan ini lebih baik berbanding skuad kelayakan sebelum ini. Biarlah mereka menghabiskan peringkat kumpulan terlebih dulu sebelum saya menilai prestasi mereka,” katanya.

Saturday, September 3, 2011

Demi negara!




pix_gal0


Apek anggap misi skuad Olimpik lebih penting


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

PADA saat ini sumbangannya amat diperlukan dalam dua pasukan - skuad Olimpik dan Kelantan - tetapi Khairul Fahmi Che Mat lebih mengutamakan skuad negara ketika mindanya berkocak sebelum membuat satu keputusan tepat, semalam.
“Saya akur tugas dengan kedua-dua pasukan (negara dan Kelantan) begitu penting. Namun bagi saya misi negara lebih penting dan mahu membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.
“Apa yang pasti fokus saya adalah kepada skuad negara. Selepas semuanya beres baru saya kembali mengalihkan fokus membantu Kelantan. Saya harap Kelantan mampu mencipta kejayaan tanpa saya,” kata penjaga gol utama negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Apek selepas sesi latihan di Wisma FAM, semalam.
Dia tidak akan bersama Kelantan untuk empat perlawanan awal Piala Malaysia, termasuk pembuka tirai Kumpulan C menentang Sarawak,Selasa ini untuk memberi tumpuan ke arah perlawanan pusingan ketiga kelayakan Olimpik menentang Jepun pada 21 September ini.
Kelmarin, ketua jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan Khairul Fahmi menyertai skuad The Red Warriors untuk saingan Piala Malaysia membolehkan penjaga gol itu terus bersama skuad kendaliannya.
Apek masih percaya Kelantan mampu mencipta sesuatu membanggakan walaupun tanpa kelibatnya di pintu gol pasukan kali ini.
“Saya rasa Kelantan tidak ada masalah kerana bola sepak bukan permainan individu. Kelantan masih memiliki Mat Shah (Shahrizan Ismail) yang lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.