Saturday, January 7, 2012

'Kuasa Piya'



Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

Kapten Red Warriors tekad bantu pertahan gelaran lagi

APA yang berkocak dalam minda Mohd Badhri Radhzi ketika ini adalah memastikan Kelantan dapat mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah dengan apa cara sekalipun apabila menentang Negeri Sembilan, malam esok.

Fokus ketua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti untuk menang dan menjaga reputasi mereka selaku juara bertahan walaupun akur lawan mereka yang bergelar juara baru Piala Malaysia itu turut ada muslihat menafikan impian besar mereka itu.
“Kami tidak akan ambil mudah perlawanan Sabtu ini (malam esok). Selepas segala persiapan awal misi kami sudah pasti mempertahankan gelaran,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Piya.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu menambah: “Negeri Sembilan masih pasukan kuat.

Walaupun ada beberapa tonggak utama mereka berpindah ke pasukan lain musim ini tapi mereka masih ada ramai pemain muda berkualiti dan berpengalaman. Kami perlu berwaspada.”

Bagi Negeri Sembilan kunjungan ke gelanggang harus dengan misi sama.
Ini adalah penampilan ketiga mereka da lam perlawanan Sumbangsih selepas menempuh detik kecewa gagal pada 2004 dan 2010.

The Red Warriors yang juga juara Liga Super, musim lalu berusaha untuk mengekalkan trofi itu buat kali kedua berturut-turut selepas berjaya melakukannya kali pertama, tahun lalu selepas mengetepikan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam.

Ketika disentuh mengenai masalah komunikasi dihadapi bersama pemain import sebelum ini, Piya menjelaskan perkara itu semakin berkurangan malah ia bertambah baik dan berharap mampu dipertingkatkan sebelum aksi sebenar.

“Buat masa sekarang, masalah komunikasi dengan pemain import sekarang sudah semakin baik berbanding sebelum ini. Sebelum perlawanan esok, kami perlu terus memperbaiki aspek ini untuk menjamin keputusan yang lebih baik dan apa yang diharapkan kami mampu mengatasinya sebelum perlawanan itu nanti,” katanya.

Walaupun trofi yang dipertaruhkan malam esok bukan lagi dianggap sebagai rebutan utama pasukan bertanding namun kemenangan dalam aksi pertama liga begitu penting sebagai momentum sebelum meneruskan perlawanan seterusnya.

Thursday, January 5, 2012

Trofi Semangat


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

Trofi semangat Kelantan, NS tekad mulakan langkah 2012 dengan trofi pertama

MUNGKIN Piala Sultan Ahmad Shah bukan trofi rebutan utama tetapi bagi Kelantan dan Negeri Sembilan yang bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, kemenangan dalam perlawanan sumbangsih pembuka tirai Liga Super itu membawa banyak signifikasi.

Juara Liga Super Kelantan berusaha untuk mengekalkan trofi itu buat dua tahun berturut-turut, selain menjadikannya sebagai medan terbaik menyemarakkan perjuangan The Red Warriors dalam Liga Malaysia musim ini.

Sebaliknya, juara Piala Malaysia Negeri Sembilan pula berharap percubaan kali ketiga dalam perlawanan sumbangsih kali ini, berhasil membawa pulang trofi itu selepas cubaan pada 2004 dan 2010 berakhir kehampaan.

Sehubungan itu, tiada istilah sambil lewa atau tidak serius mengiringi langkah pemain kedua-dua pasukan apabila masuk ke padang kerana Piala Sultan Ahmad Shah mampu menceriakan koleksi kejuaraan skuad Peter Butler dan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Malah pertukaran venue pada saat-saat akhir dan kegagalan untuk menjalani latihan dengan sempurna ekoran masalah cuaca buruk di Kota Bharu juga tidak merencatkan semangat Kelantan.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai mereka (Negeri Sembilan) kerana lebih baik fokus kepada persiapan pasukan sendiri. Kalau mereka ada pemain muda dan berpengalaman, kami juga ada pemain yang bagus.

“Pada perlawanan itu (persahabatan), saya gunakan ramai pemain muda, jadi ia bukan ukuran sebenar kekuatan kami,” kata Butler merujuk kepada kekalahan 1-3 dalam perlawanan persahabatan tempoh hari.