Sunday, February 5, 2012

Rezeki Berganda Maulidul Rasul



Pada mulanya, hanya tuhan saja yang tahu bagaimana mengantuknya ketika menunggu "abang-abang besar" FAM meeting yang mengambil masa sehingga lebih empat jam. Boleh dikatakan hampir semua reporter hari itu tertidur sekali dengan aku ekoran terpaksa menunggu terlalu lama. Tapi hasilnya, memang puas hati apabila dua 'story' hasil tulisanku berjaya mendominasi dua halaman utama Berita Minggu pada 5 Februari 2012 iaitu di 1st page (FRONTPAGES) dan last page (BACKPAGE) dengan tertera "single byline"
PUASSSSSS!!!!!!!!!

FRONTPAGE

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

18 pemain, jurulatih digantung
(Headline)

KUALA LUMPUR: Lapan belas pemain dan seorang jurulatih skuad Piala Presiden yang terbabit dalam rasuah bola sepak menghadapi hukuman gantung seumur hidup atau larangan dua tahun menyertai sebarang aktiviti dan pertandingan bola sepak di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat EXCO FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.

Nama pemain serta jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar itu serta jenis hukuman akan diumumkan oleh FAM minggu depan.

"Ini membuktikan FAM bertindak tegas terhadap perilaku mana-mana pemain dan pegawai pasukan. Saya harap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada pemain lain," titah baginda. Sebelum ini, kancah bola sepak tempatan digegarkan isu rasuah apabila beberapa pemain pasukan Perlis disoal siasat kerana disyaki menerima wang daripada bookie untuk mengatur perlawanan ketika dibelasah 7-2 oleh MP Muar dalam aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Sebagai langkah awal membanteras kegiatan itu, FAM melaksanakan pendekatan 3E (education, engagement, enforcement) atau pendidikan, pembabitan dan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan rasuah dalam arena bola sepak tempatan.

Tengku Abdullah juga berkata, melalui pendekatan 3E, selepas ini semua proses pendaftaran pemain perlu melalui satu badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengenal pasti pemain yang memiliki rekod buruk.

"Kalau ada pemain yang mempunyai rekod tidak baik, kita tidak benarkan mereka beraksi dan lesen tidak akan dikeluarkan," titah baginda.

BACKPAGE

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

FAM pantau gaji pemain (Headline)

SEMUA transaksi pembayaran gaji pemain akan dipantau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Langkah itu diiringi amaran keras kepada semua pasukan supaya tidak memandang ringan perkara berkaitan pembayaran gaji demi mengelak masalah yang berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) hampir saban tahun sebelum ini.

"FAM akan wujudkan satu badan bebas yang akan memantau transaksi pembayaran gaji di setiap pasukan yang bertanding dan turut mendapat kerjasama pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Kita perlu ambil kira kemahuan penyokong yang mahu melihat aksi terbaik dipamerkan pemain. Oleh itu, kami bersedia menggantung mana-mana pasukan daripada menyertai pertandingan bola sepak di negara ini. Tindakan ini berkuat kuasa serta merta hari ini (semalam)," kata Naib Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin, selepas mesyuarat Exco kali keempat yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuala Lumpur, semalam.

Amaran ini bukan kerana mahu menghukum dan membebankan pasukan bertanding, sebaliknya ia perlu dilihat daripada sudut lebih positif termasuk untuk mengelak pemain terbabit dengan kegiatan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan.

Hamidin berkata, masalah kelewatan bayaran gaji turut menjadi antara punca mendorong pemain untuk terbabit menerima ganjaran daripada bookie.

Begitupun katanya, FAM hanya akan menggantung pasukan daripada menyertai pertandingan selepas surat amaran kedua tidak diendahkan.

"Kami mahu pemain menerima gaji setimpal seperti yang dipersetujui antara dua pihak (pemain dan pasukan). Sekiranya pasukan gagal menjelaskan bayaran pada bulan pertama, kami akan mengeluarkan surat amaran pertama.

"Surat amaran terakhir akan dikeluarkan jika masalah itu berulang di bulan kedua dan sekiranya ia masih berlaku, FAM akan menghalang mereka daripada bertanding sehingga mereka melunaskan semua tunggakan gaji pemain," katanya.

Saturday, February 4, 2012

Lebih sukar


Norshahrul minta rakan persiap mental, fizikal untuk pertahan Piala AFF

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

NORSHAHRUL Idlan Talaha percaya tekanan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki penghujung tahun ini, lebih besar dan berat.

Lantas penyerang prolifik Kelantan itu mengingatkan semua rakan sepasukan supaya menyiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal kerana menjangkakan harapan dan impian peminat untuk melihat skuad kebangsaan mengekalkan kejuaraan, lebih tinggi.

“Saya tahu pasukan lain akan cuba mengalahkan kita kali ini. Tekanan pasti lebih berat dan buat masa ini, kami giat berlatih untuk membina keyakinan diri apabila berdepan tekanan sebenar nanti.

“Kami perlu menghadapi semua ini bagi membuktikan kemampuan sebenar dan mengikis tanggapan kemenangan Malaysia dua tahun lalu adalah kerana nasib semata-mata,” katanya selepas sesi latihan fasa pertama skuad kebangsaan di Padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.

Penyerang yang mesra dipanggil Mat Yo itu berkata, dia juga tidak kisah siapa gandingannya di barisan depan selepas kedudukan Safee Sali kini tampak ‘tergantung’ bersama kelabnya, Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia.

“Pasti jurulatih (Datuk K Rajagobal) ada jawapannya dan saya percaya pemain lain juga mampu menggantikan tempat Safee.”

Skuad kebangsaan dijangka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi pada 24 Februari di Australia dan bertemu Filipina, 29 Februari.