Sunday, November 27, 2011

Elemen 22 Apek


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

"SAYA mahu sentiasa muncul pemain terbaik di kalangan 22 pemain atas padang!" Itulah nada suara positif penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat ketika menceritakan elemen ini sebagai membakar semangat setiap kali dia masuk ke gelanggang membantu skuad negara.

Bintang dari Kelantan yang dikenali Apek mahu menggandakan usaha membantu Harimau Muda mencari mata pertama apabila menentang Bahrain dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan, Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

"Setiap kali masuk padang, saya cuba tunjuk persembahan terbaik. Sudah pasti saya mahu mengatasi pemain lain - baik rakan mahu pun lawan - untuk menjadi terbaik antara 22 pemain," katanya yang menjadi tonggak penting menyekat penyerang Syria daripada membocori gawang skuad negara secara lebih kerap, kelmarin.

Kapten itu menambah: "Saya juga sentiasa mahu beraksi baik membantu kemenangan pasukan negara kerana faktor penonton. Mereka amat penting untuk membantu bangkitkan semangat pasukan. Mereka adalah antara motivasi besar saya ketika ini."

Tidak dinafikan sumbangan besar Apek di Sukan SEA di Jakarta, baru-baru ini dan perlawanan menentang Syria, kelmarin harus diberikan satu pengiktirafan selepas banyak menyekat lawan menambahkan jaringan.

Walaupun sering dihantui dengan pelbagai kontroversi luaran namun tonggak utama Kelantan itu tidak cepat melatah dan ia tidak sesekali menjejaskan prestasinya dalam padang malah terus mempamerkan `magis' setiap kali mengawal pintu gol negara daripada dibolosi.

"Perkara pertama yang saya sentiasa lakukan dalam setiap perlawanan adalah cuba melupakan terus semua masalah peribadi daripada luar padang dan terus menumpukan sepenuh perhatian terhadap permainan," katanya.

Khairul Fahmi turut mengakui yang dia masih belum mampu mendabik dada serta berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini dan nekad untuk terus memperbaiki segala kelemahan.

Kekalahan 0-2 kepada Syria juga menjadi pendorong untuk terus mempertingkatkan prestasi sebelum menentang Bahrain, Ahad ini.

"Saya sedar kelayakan Olimpik adalah pentas terbaik untuk menonjolkan diri. Dalam perlawanan semalam (kelmarin) semua pemain sudah melakukan yang terbaik dan mereka begitu mahukan kejayaan mencipta sejarah kami tersendiri.

"Secara peribadi, saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi saya terutamanya selepas bolos dua kali. Saya juga ada menjalani latihan tambahan bersama rakan sepasukan dan kami saling menegur kesilapan antara satu sama lain sebelum menghadapi perlawanan seterusnya terutamanya menentang Bahrain, Ahad ini," katanya.

Malaysia Makin Liat?


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

SAMA ada bersikap diplomasi atau sebaliknya, skuad bola sepak Bahrain menghambur pujian ke atas Malaysia yang dianggap makin liat ketika ini.
Jurulatih pasukan dari negara Teluk itu, Salman Shareeda beranggapan anak didik Ong Kim Swee pasti sukar ditewaskan dalam pertembungan Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Kami tetap berwaspada dengan kemampuan Malaysia ketika ini," katanya selepas sesi latihan, semalam.
"Kami ada melihat aksi Malaysia menentang Syria sebelum ini, nyata mereka sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan."
Ketika sama, dia turut memuji beberapa pemain skuad Harimau Muda yang beraksi cemerlang ketika menentang Syria tempoh hari walaupun tewas 0-2.
"Ada beberapa pemain Malaysia yang bagus. Pemain nombor 12 anda (Muhamad Nazmi Faiz Mansur) ada kemampuan tinggi. Saya lihat dia menjana bahagian tengah dengan baik dan kita perlu lebih berhati-hati dengan pemain ini untuk mengelak dimalukan nanti," katanya.
Selepas tewas dalam dua aksi sebelum ini, Bahrain kelihatan lebih terdesak untuk mencari kemenangan menentang skuad kebangsaan, Ahad ini.
"Kami datang ke Kuala Lumpur hanya untuk mencari kemenangan pertama kami. Kami perlukan tiga mata untuk menghidupkan peluang kami," kata Salman.

Igauan Bahrain


Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

“CORAK permainan Malaysia banyak meningkat sejak kebelakangan ini.”
Itu luahan pertama keluar daripada bibir kapten skuad Olimpik Bahrain, Abdulla Khalid Alhazaa ketika ditanya mengenai kekuatan skuad negara menjelang perlawanan ketiga Kumpulan C kelayakan Olimpik, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Katanya, kejayaan Harimau Muda mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini turut menjadi antara faktor kepada kerisauan skuad kendalian Salman Shareeda itu.
Namun, dalam akur dengan aksi cemerlang dan peningkatan yang ditunjukkan anak buah Ong Kim Swee, Abdulla masih menaruh keyakinan pasukannya mampu menumpaskan tuan rumah.
“Kami tidak boleh pandang rendah dengan keupayaan Malaysia. Mereka sebuah pasukan yang hebat malah sejak kebelakangan ini mereka menunjukkan banyak peningkatan.
“Saya akui dengan peningkatan dan aksi cemerlang yang ditunjukkan pasukan Malaysia, tapi saya masih percaya Bahrain mampu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui di Padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.
Sama seperti pasukan negara yang tewas 0-2 kepada Syria, Bahrain turut mengalami kekalahan kedua di tangan Jepun dengan jaringan yang sama selepas tewas kepada Syria 1-3 dalam perlawanan pertama, dan kini di tangga ketiga Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Friday, November 4, 2011

‘Henti kritik saya’




Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my

Tapi bagilah kritikan membina: Khairul Fahmi

KHAIRIL Fahmi Che Mat memohon kepada peminat bola sepak segera menghentikan kritikan ke atasnya kerana mahu memberi fokus 100 peratus membantu Harimau Muda mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta.
“Peminat boleh kritik tapi bagilah kritikan yang boleh membina semangat. Jika mahu terus mengkritik biarlah ia berkaitan prestasi di dalam padang.
“Bagi saya semua ini harus ditolak ketepi. Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai soal lain dan hanya mahu fokus kepada Sukan SEA saja,” kata penjaga gol skuad negara itu, semalam selepas dipalit kontroversi baru membabitkan soal peribadinya, baru-baru ini.
Malaysia membuka tirai perlawanan Kumpulan A menentang pasukan tetangga, Singapura, Isnin ini.
Ketika sama dia tidak menganggap ia satu masalah baru dengan pelantikan Baddrol Bakhtiar selaku kapten pasukan ke Sukan SEA.
“Tidak ada sebarang masalah,” kata Apek yang menerima apa saja keputusan jurulatih, Ong Kim Swee.
Dia menambah: “Baddrol pemain lebih berpengalaman berbanding saya dan berhak diberi tugas ini.
“Bagi saya siapa dipilih kapten tak penting. Apa perlu dilakukan adalah beri komitmen penuh dan saya ajak rakan lain memberi kerjasama kepada Baddrol untuk pulang membawa pingat emas sekali lagi.”